Sabtu, 3 Oktober 2009

Penyertaan Dalam Acara Sepak Takraw Perlu Dihadkan - Istaf





 








Oleh D. Arul Rajoo

BANGKOK, 16 Dis (Bernama) -- Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) hari ini menyarankan agar jumlah acara sepak takraw yang disertai sesebuah negara pada Sukan SEA dan Sukan Asia pada masa akan datang perlu dihadkan bagi mengelak wujudnya monopoli dan untuk memberi peluang sama rata kepada semua pihak.

Setiausaha agungnya Abdul Halim Kader berkata langkah itu sejajar dengan amalan oleh sukan lain seperti taekwondo dan angkat berat bagi memberi peluang kepada pasukan lain memenangi pingat, bukan oleh pasukan kuat sahaja.

Katanya cadangan itu diterima pakai pada mesyuarat jawatankuasa eksekutif Istaf semasa berlangsungnya Sukan SEA di Korat pada 13 Dis dan disokong oleh Thailand, yang menyapu bersih kesemua lapan pingat emas yang ditawarkan bagi sukan itu.

"Kami telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyediakan butiran lanjut mengenainya. Mungkin, pasukan akan dibenarkan mengambil bahagian dalam 70 peratus acara sahaja," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Halim berkata idea itu dicetuskan semasa berlangsungnya Sukan Asia di Doha tahun lepas dan ia akan dilaksanakan pada Sukan SEA 2009 di Laos dan Sukan Asia 2010 di Ghuangzhao, China.

Malah, kata beliau, Persatuan Sepak Takraw China dan Jawatankuasa Olimpik China telah membawa perkara itu kepada Istaf enam bulan lepas.

"Ini juga akan membantu persatuan mendapat dana daripada kerajaan mereka dan menarik penajaan. Contohnya, di Singapura terdapat sistem ranking berdasarkan pingat yang dimenangi, kepimpinan, pengurusan dan jenis program dalam menentukan bantuan kewangan yang akan diberi," katanya.

Sementara itu, setiausaha agung Persekutuan Sepak Takraw Asia Boonchai Lophpipat dari Thailand berkata negara itu tidak membantah cadangan tersebut kerana ia lebih mementingkan masa depan serta ingin melihat lebih banyak negara mengambil bahagian dalam sukan itu dan mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk memenangi pingat.

"Berdasarkan pengamatan kami, lebih banyak negara telah mengambil bahagian dalam acara beregu dan hoop pada Sukan SEA Korat, berbanding dalam acara regu dan berpasukan. Dengan mengehadkan penyertaan, negara baru muncul seperti Vietnam, Filipina dan Singapura juga mempunyai peluang untuk menang, bukan Thailand, Malaysia atau Myanmar saja," katanya.

Boonchai, yang juga bendahari Istaf berkata ramai bakat baru telah lahir daripada Sukan SEA dan terdapat juga banyak keputusan mengejut, walaupun Malaysia menarik diri daripada menyertai acara itu kerana tidak berpuas hati tentang peraturan berkaitan penggunaan bola bersalut getah, Marathon Gen-II.

Halim berkata lebih banyak negara kini terlibat dengan permainan sepak takraw seperti Iran, yang mempunyai 25 daerah permainan, 60 jurulatih serta 100 pengadil sukan itu.

Katanya Iran juga telah ditugaskan oleh Istaf untuk mempromosikan sepak takraw di Lubnan, Syria, Azerbaijan dan Bahrain dalam tempoh dua tahun akan datang.

-- BERNAMA









Tiada ulasan:

Catat Ulasan