Rabu, 26 Ogos 2009

Sepak takraw pantai diperkenalkan kepada dunia

PETALING JAYA – Sepak takraw pantai akan diperkenalkan kepada dunia sebagai satu acara sukan berkelas antarabangsa bermula dengan Karnival Sukan Pantai Kuantan 2007, yang dilancarkan di Petaling Jaya, semalam.

Penganjur bersama Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Westcoast Lerisure berazam untuk menjadikan karnival yang akan berlangsung di Kuantan pada 19–25 Ogos ini sebagai pembuka mata masyarakat sukan antarabangsa mengenai potensi dan keseronokan sukan sepak takraw pantai.

Yang Dipertua MPK, Datuk Azizan Ahmad yakin sukan tradisi Malaysia itu mampu menerokai pentas sukan antarabangsa seperti yang dilakukan oleh sukan sepak takraw, bola sepak pantai dan bola tampar pantai.

“Jika sukan seperti bola sepak pantai dan bola tampar pantai boleh berkembang menjadi acara berkelas dunia dan Sukan Olimpik, kami tidak nampak sebarang sebab mengapa sepak takraw pantai tidak boleh menyertai sukan sepak takraw menjadi sukan antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran media Karnival Sukan Pantai Kuantan 2007.

Vietnam, Indonesia dan Brunei turut jejak Kanada kecam peneraju sekretariat Istaf



SELEPAS Kanada tampil menuntut Abd Halim Kader (gambar) yang menerajui sekretariat badan induk sepak takraw antarabangsa (Istaf) meletak jawatan, beberapa negara lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemimpin itu menangani isu bola bersalut getah.


Myanmar menjadi negara pertama mengemukakan bantahan terhadap Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) membantah penggunaan bola bersalut getah sebelum ia disusuli Vietnam, Indonesia dan Brunei.


Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Indonesia, Tirowali menuntut Istaf perlu segera mengadakan mesyuarat bagi menamatkan kemelut itu, lebih-lebih lagi Kongres tidak pernah diadakan sejak 2004 dan isu bola getah ini tidak pernah dibincangkan.


“Kita harap perkara ini diselesaikan. Apa yang malang, ada pemimpin yang cuba menghapuskan sukan warisan Nusantara ini sebelum ia sempat tiba ke mercu Sukan Olimpik.


“Pendirian PSM dalam hal ini amat terpuji dan mampu membuka mata semua pihak,” katanya ketika dihubungi Harian Sukan, semalam.


Beliau mengulas pendedahan Kanada mengenai kepincangan terutama oleh Halim selaku Setiausaha Agung Istaf dan Bendahari Istaf, Boonchai Lorhpipat selaku tuan punya syarikat bola getah Marathon Gen II yang menjadi punca pertikaian.


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, berkata sebenarnya sudah banyak negara menyedari kepincangan yang berlaku dan menyokong pendirian Malaysia berkaitan isu ini.


“Saya menjangkakan lebih banyak negara lain akan tampil menyatakan sokongan mereka kerana seperti Malaysia, negara terbabit mahu membangunkan sukan ini sehingga ia diterima di Olimpik,” katanya.


Kelmarin, Presiden Persatuan Sepak Takraw Kanada, Rick Engel yang juga Naib Presiden Istaf, mempersoalkan bagaimana bola getah yang tidak diluluskan Kongres digunakan pada Sukan Sea di Korat, Disember lalu.


Malah, Kanada mempertikaikan mengapa Istaf tidak bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini, selain mendakwa Halim gagal membentangkan laporan kewangan Istaf sejak 2000 dan beberapa keputusan dibuatnya melanggar perundangan badan induk itu.



Ahmad berkata, sebelum ini negara anggota Istaf tidak berani tampil mempersoalkan pentadbiran badan induk itu kerana ingin menjaga keharmonian dalam gabungan berkenaan tetapi kini mereka mula menyedari kepincangan itu sudah melampaui batas dan perlu dihentikan.


Mengulas perkara sama, Exco Persatuan Sepak Takraw Kuala Lumpur, Zullkafly Md Din, berkata sebelum ini, beliau didatangi pegawai persatuan sepak takraw dari Jepun dan Amerika Syarikat yang menegaskan, mereka berdiri kukuh di belakang PSM.


“Pegawai Jepun dan Amerika dalam setiap pertemuan menegaskan, mereka sentiasa menyokong Malaysia berkaitan usaha menamatkan kepincangan dalam Istaf serta usaha membangunkan sukan ini,” katanya.

Status quo PSM perlu dipulang demi masa depan takraw: MOM

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) bertegas agar status quo Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dipulangkan dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) perlu segera menoktahkan segala kemelut melanda.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, menegaskan apa yang berlaku cuma masalah berkaitan teknikal dan seharusnya mampu diselesaikan dengan cara baik andai se mua pihak mengutamakan kepenti ngan sukan itu.

Buat mencari segera satu rumusan lebih baik beliau berkata Presiden MOM, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar yang turut memandang serius episod ini mahu mengadakan pertemuan hati ke hati dengan pegawai atasan Istaf selepas perayaan Tahun Baru Cina - sama ada menjemput mereka ke Kuala Lumpur atau Kok Chi dan wakil mungkin ke Bangkok.

"Selepas dihubungi Presiden Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Anta rabangsa) Charouck Arirachakaran, saya dapati isu ini boleh diselesaikan dengan baik. Saya memintanya supaya mengembalikan status quo PSM dan segera selesaikan masalah berbangkit," katanya.

Sambil menegaskan, MOM tidak mahu terbabit sehingga ke aspek tek nikal berkaitan kemelut yang ber larutan sejak Oktober lalu itu, Kok Chi, berkata pada pandangannya Istaf perlu duduk semeja menyelesai kan perkara ini.

"Apa yang berlaku ada pihak meng gunakan saluran yang salah untuk menyelesaikan kes ini. Saya rasa semua masalah sudah lama dapat di selesaikan andai mereka berunding secara baik.

"Kenyataan saya jangan disalah anggap cuba mencampuri urusan mereka tetapi perlu diterima sebagai satu nasihat daripada seorang rakan yang ingin melihat sukan ini terus berkembang," katanya.

Mengulas mengenai perbualan telefon dengan Charouck, Kok Chi yang sekian lama mengenali pemimpin Istaf itu berkata, rundingan ke lihatan positif dan memperlihatkan pemimpin itu sedia dan berminat menyelesaikan isu yang berlaku.

"Saya katakan kepadanya bahawa isu takraw sudah menjadi isu besar di Malaysia dan andai dia menerima usul supaya menggantung PSM, tindakan itu seumpama memotong sebelah tangan Istaf.

"Perkataan sepak takraw adalah gabungan daripada bahasa Siam-Melayu dan jika mereka menamatkan kaitan dengan Malaysia yang turut sama mengasaskan sukan ini, bermakna mereka sengaja mahu merosakkan segala usaha sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Istaf, Abd Halim Kader mengumum kan PSM digantung keanggotaan de ngan badan induk itu, namun, ke nyataan Halim dinafikan sendiri Naib Presiden Istaf, Prof Dr Chalerm Chaiwatcharapon yang menegaskan, Istaf dan Charouck tidak per nah berbincang usul menggantung PSM.

Kemelut ini bermula dengan ban tahan PSM terhadap penggunaan bola getah Marathon Gen II yang mahu digunakan pada Sukan Sea Korat na mun, Halim menjadikannya sebagai isu peribadi mengetepikan suara majoriti ahli Kongres atau pemimpin lebih tinggi.

Presiden Istaf Mahu Selesai Kemelut Cara Baik

Dikemaskini : 27 OGOS 2009/8.22

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Jen Charouck Arirachakaran sedia bersemuka dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bagi meletakkan titik noktah kepada kemelut yang melanda sukan itu, ketika ini.

Kesudian Charouck itu dinyatakan kepada Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi ketika mereka mengadakan pertemuan tidak rasmi penuh bermakna ketika sama-sama menghadiri seminar antarabangsa di Lausanne, minggu lalu.

Kok Chi, berkata Charouck mahu menyelesaikan kemelut itu secara baik demi menjaga nama baik Malaysia dan Thailand - dua negara yang menjadi peneraju utama sepak takraw di peringkat dunia.

“Saya berkesempatan berjumpa Charouck dan berbincang mengenai isu sepak takraw dan presiden Istaf itu bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan presiden PSM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berbangkit ketika ini.

“Dia juga menjelaskan Istaf tidak mahu isu itu berpanjangan serta masih menganggap Datuk Ahmad sebagai sahabat baiknya dan ia tidak seharusnya mengeruhkan persefahaman antara dua negara yang menjadi peneraju utama sepak takraw.

“Charouck memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan perkara ini dan hanya meminta sedikit kesabaran daripada pihak Malaysia,” kata Kok Chi yang akan membawa mesej Charouck itu dan hasil pertemuan dengan presiden Istaf itu kepada Ahmad.

Isu sepak takraw yang bermula dengan hanya membabitkan bola baru - Marathon Gen II - kini sudah tersimpang jauh daripada fokus sebenar terutama sekali perang mulut dan tuding menuding yang berlaku antara Presiden PSM dan Setiausaha Agung Istaf, Halim Kader.

Tidak mahu melihat kemelut itu berpanjangan hingga membantutkan pembangunan sukan itu, Kok Chi mengambil inisiatif untuk menjadi orang tengah untuk cuba menyelesaikan masalah itu dan mengambil kesempatan daripada seminar antarabangsa di Lausanne untuk mengadakan pertemuan dengan Charouck.

Walaupun tidak diberikan tugasan selaku wakil khas PSM, Kok Chi menggalas tanggungjawab tidak rasmi untuk cuba menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing antara PSM dan Istaf, demi kepentingan kedua-dua pihak, lebih-lebih bagi membela nasib atlit.



E-mail Artikel Ini Kepada Rakan

Selasa, 18 Ogos 2009

Giliran Halim 'serang' PSM






KERATAN KOSMO! 8 Februari 2008.





"JANGAN gunakan bangsa penjajah untuk menjatuhkan Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan jangan gunakan media untuk salur maklumat yang salah jika tidak tahu kebenarannya."
Demikian kata dua Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang didakwanya mengheret Presiden Persatuan Sepak Takraw Kanada (STAC), Rick Engel dalam kemelut antara Istaf dan PSM.
Menurut Halim, dakwaan Engel bahawa Istaf tidak bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini selain mendakwa dia gagal membentangkan laporan kewangan Istaf sejak tahun 2000, jelas sekali tidak berasas.
Bagi Halim, tindakan PSM menggunakan STAC untuk mencabar Istaf adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dalam kemelut persatuan yang mula dipelopori masyarakat Melayu.
"Kenapa nak gunakan bangsa penjajah sebagai sokongan sedangkan kita tahu mereka memang mahu memecah belahkan bangsa kita?" kata Halim semalam.
"Engel dan Ahmad telah membuat satu pembohongan besar bahawa saya gagal membentangkan laporan kewangan Istaf kerana ia telah dibentangkan oleh bendahari Istaf, Boonchai Lophipart selaku pemegang amanah Istaf pada 31 Disember 2006 yang turut dihadiri Ahmad.
"Malah, akaun Istaf ini juga telah diperiksa (audit) oleh akauntan awam yang bertauliah, Major Pracha Thrummachoti. Saya ada bukti-buktinya," katanya lagi.
Mengenai tuduhan bahawa Istaf tidak pernah bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini, Halim menegaskan bahawa usaha itu telah diadakan iaitu sebelum bermulanya temasya Sukan SEA XXIV di Korat tahun lepas.
"Kami telah adakan satu mesyuarat sebelum Sukan SEA Korat bermula iaitu pada 2 Julai 2007 di Bangkok yang turut dihadiri Ahmad dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahaya.
"Jadi tidak timbul isu bahawa kami tidak pernah cuba menyelesaikan kemelut ini kerana pada hakikatnya kami telah lakukan apa yang terdaya.
"Jadi bagi saya, semua maklumat ini adalah salah dan mereka telah menyalahgunakan pihak media untuk kepentingan mereka sedangkan kebenarannya ada bersama saya," kata Halim.
Justeru, campur tangan oleh STAC dalam kemelut yang bermula dengan isu penggunaan bola getah Marathon Gen II keluaran syarikat milik Boonchai Lorhpipat itu juga amat memeranjatkan Halim.
"Mengapa Engel mahu bangkitkan isu bola getah ini sedangkan pada mesyuarat di Bangkok itupun mereka tidak hadir.
"Jadi, mereka tidak tahu menahu tentang bola itu, tapi berani pula kata bola itu tidak boleh digunakan. Apa semua ini," ujarnya lagi.

Penarikan diri pasukan sepak takraw negara dibincang hangat

Intan Abdullah
Thu | Dec 06, 07 | 11:15:24 am MYT
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Dewan Rakyat semalam hangat membincangkan topik pemboikotan pasukan sepak takraw negara, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam Sukan SEA di Korat, Thailand.
Iklan

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa (Kementerian Belia dan Sukan), Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) mempertikaikan tindakan PSM yang dianggap telah mencatatkan sejarah hitam dalam arena sukan tanah air.
Kata-kata beliau telah mengundang reaksi kurang senang daripada Dato' Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor, lalu bangkit mempertahankan PSM.
Raja Ahmad mempertikaikan kewajaran PSM menarik diri atas alasan tidak bersetuju dengan bola bersalut getah yang digunakan pada temasya itu.
"Tiba-tiba hari ini (PSM) menarik diri kerana bola yang kononnya tak sesuai dan boleh menyebabkan kecederaan," katanya mengundang situasi dewan gamat kira-kira setengah jam yang menyebabkan Timbalan Speaker terpaksa mendesak Raja Ahmad menyelesaikan ucapannya.
Mohamad yang tidak mahu mengalah daripada mempertahankan tindakan PSM melahirkan kehairanan berkata: "Saya tak tahu apa maksud yang tersirat dan tersemat di hati Larut (Raja Ahmad) membangkitkan isu penarikan diri PSM. Sama ada nak sokong atau hentam, saya tidak faham."
"Saya pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Sukan SEA tersebut," katanya yang tiba-tiba dicelah oleh Mohamad yang duduk bersebelahan selang satu kerusi daripadanya.
Mohamad yang ingin menjelaskan alasan penarikan diri tersebut menyebabkan Raja Ahmad berasa tidak berpuas hati sambil memegang buku peraturan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan beliau boleh meneruskan ucapannya.
"Nanti Yang Berhormat berucaplah, sekarang ini giliran saya yang berucap. Bagilah peluang saya menghabiskan ucapan saya dulu," kata Raja Ahmad memujuk Mohamad yang kian panas apabila isu bola sepak takraw disebutkan.
Persoalan penarikan diri ini turut menjadi topik perbincangan hangat oleh beberapa ahli parlimen lain yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan memandangkan ia adalah sukan tradisi negara. - mns _

Takraw: PSM beri bukti baru pada MSN, MOM





KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memberi bukti terbaru kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mempertahankan tindakan mereka menarik diri daripada Sukan SEA Korat.
Bukti yang dimaksudkan adalah hasil kajian yang dijalankan sebuah universiti tempatan berhubung kesan penggunaan bola takraw yang dipertikaikan PSM sebelum ini.
Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata, pihaknya juga akan menggunakan hasil kajian itu untuk turut meyakinkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
“PSM percaya mampu meyakinkan semua pihak tentang kesan negatif penggunaan bola takraw Maraton New Generation yang dihasilkan di Thailand itu.
“Kajian tersebut mendedahkan bola tersebut memang padat dan laju serta boleh mendatangkan kecederaan jangka panjang kepada otak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog dengan MOM di sini, semalam. Sebelum itu, PSM turut mengadakan pertemuan dengan MSN.
Menurut Ahmad, MSN sudah pun memahami tentang apa yang berlaku dan akan memberi sokongan penuh kepada PSM.
Bagaimanapun ketika diajukan soalan, Ahmad enggan mendedahkan nama universiti yang membuat kajian itu.
Ini kerana ia akan menjadi modal untuknya mempertahankan diri selepas syarikat pengeluar bola tersebut berhasrat membawa isu ini ke mahkamah.
Pada sesi dialog dengan MOM itu, PSM turut memberi beberapa alasan yang dianggap mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan menarik diri daripada Sukan SEA.
Antaranya ialah penggunaan bola baru itu melanggar buku peraturan Korat di bawah artikel 5 fasa 8 kerana tidak mendapat kelulusan terlebih dulu.
Di samping itu, harganya RM45 sebiji yang terlalu mahal boleh `membunuh’ pembangunan sepak takraw di negara ini dan negara lain.
“Dengan harga yang sedemikian, PSM terpaksa membelanjakan RM25 juta untuk membeli bola sahaja berbanding bola lama, kita hanya belanja RM2.5 juta sahaja,” tegasnya.
Sementara itu, MOM masih perlu meneliti beberapa fakta lagi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan PSM.
Naib presiden MOM, Prof. W.Y. Chin berkata, walaupun sesi dialog semalam membincangkan secara mendalam mengenai isu bola dan penarikan diri takraw, pihaknya perlukan masa untuk menilai segala alasan dan fakta yang diberi PSM.
“Mungkin MOM akan menyatakan pendirian bulan depan sama ada untuk membantu PSM atau pun tidak dalam isu ini,” katanya.

Selasa, 4 Ogos 2009

Jom sokong PSM kembalikan nama “Sepak Takraw” kepada “Sepak Raga”!!




Kembalikan sepak raga – PSM

KUALA LUMPUR – Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam memerangi induknya, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) semakin panjang semalam apabila mereka mengesahkan kesediaan untuk menubuhkan badan induk baru selain mengembalikan nama asal sukan itu kepada ‘sepak raga’.
Kerana tidak ingin tunduk lagi kepada Istaf dan Astaf yang diterajui oleh pegawai Thailand dan Singapura, PSM turut akan menyusuli rancangan penubuhannya dengan mendapatkan sekutu dari lima benua khususnya selepas secara rasmi meninggalkan kedua-dua badan induk tersebut, tidak lama lagi.
Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, langkah untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan Astaf dan Istaf yang sekian lama menyeleweng dalam pentadbiran mereka, digariskan hasil perjumpaan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail dengan beberapa pegawai kanannya di ibu kota, Isnin lalu.
“PSM benar-benar serius untuk keluar daripada Astaf dan Istaf malah kami sudah mula bergerak dalam mencari sekutu dari lima benua bagi menubuhkan satu badan induk baru yang turut akan menggunakan semula nama Sepak Raga,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini.
Inilah langkah berani terbaru PSM selepas nekad menarik diri daripada Sukan SEA Korat, Thailand, 2 Disember lalu kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation – kali pertama sejak Malaysia mengasaskannya pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Tegas Tengku Adnan lagi, PSM akan turut meminta kesemua ahli gabungannya supaya menghantar wakil bagi menyertai satu perhimpunan tertutup di sebuah dewan di ibu kota pada 8 Februari ini bagi membolehkan mereka diberikan penjelasan yang tepat dan menyeluruh berhubung hasrat meninggalkan Astaf dan Istaf.
Memorandum
Katanya, perhimpunan ini akan disusuli penyerahan memorandum bantahan secara beramai-ramai kepada Kedutaan Thailand di sini terhadap kenyataan Setiausaha Agung Astaf yang juga ‘tauke’ pengeluar bola kontroversi Marathon, Boonchai Lorhpipat, Jumaat lalu yang cuba mencampuri urusan pentadbiran sepak takraw Malaysia.
Tengku Adnan selain itu turut menempelak Presiden Astaf, Abdul Halim Kader yang dalam suratnya kepada PSM Isnin lalu meminta supaya tidak meneruskan hasrat keluar demi mengenangkan jasa dan sumbangan bekas Allahyarham Tan Sri Khir Johari dan Datuk Seri Yusoff Latiff.
“PSM juga melihat ada di kalangan orang tertentu dalam Astaf dan Istaf yang mahu menghilangkan identiti Melayu dalam sukan sepak takraw,” tegasnya.
Sementara itu, satu mesyuarat tergempar Lembaga Eksekutif Istaf bakal diadakan Ahad ini, sehari selepas Majlis Tertinggi PSM bersidang dengan kedua-duanya berkaitan hasrat Malaysia keluar meninggalkan badan induk itu.
Abdul Halim berkata, mesyuarat khas itu akan berlangsung di pejabat Majlis Olimpik Thailand di Bangkok dengan dipengerusikan oleh Presiden Istaf dan Persatuan Takraw Thailand (TAT), Jen. (B) Charouck Arirachakaran.
“Agenda utama mesyuarat ini ialah membincangkan bentuk tindakan susulan yang boleh diambil ke atas PSM atas hasrat Presidennya, Datuk Ahmad Ismail untuk meninggalkan Istaf dan Astaf atau memikirkan adakah cara lain untuk menanganinya,” katanya dari Singapura kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
“PSM perlu menghentikan hasrat untuk keluar Astaf dan Istaf demi menghormati sumbangan dan jasa serta pengorbanan Allahyarham Tan Sri Khir dan Datuk Seri Yusoff yang juga Presiden dan Setiausaha Agung pertama PSM dan Astaf sejak penubuhannya pada 1967 di Jakarta, Indonesia,” katanya.
Kata Halim yang turut memimpin Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), hasrat keluar juga cuma akan mengembalikan Malaysia ke takuk lama atau kedudukan sebelum penubuhan Astaf di mana dunia langsung tidak mengenalinya sebagai penggerak dan perintis sepak takraw ke arena antarabangsa.
“Malah gara-gara hasrat itu, kedudukan tertinggi Malaysia dalam badan induk sukan antarabangsa akan lenyap sekali gus menurunkan sepak takraw negara itu ke taraf sukan tempatan sahaja sehingga memberikan peluang negara lain memintasnya, satu masa nanti,” katanya.
“Dengan mengeluarkan PSM, mahukah Datuk Ahmad membiarkan seluruh warga Malaysia melupakan amanah Allahyarham Tan Sri Khir yang turut merangka Perlembagaan Istaf dengan satu fasalnya menyebut, ‘Jawatan Presiden Istaf mestilah diisi oleh orang Asia’,” tegas Halim.
Katanya, fasal berkenaan adalah untuk menjamin tampuk pentadbiran Istaf kekal di tangan mana-mana wakil dari tiga negara perintis bersama sepak takraw – Malaysia, Singapura dan Thailand tetapi ia bakal berkubur begitu sahaja jika benar PSM meninggalkan badan induk yang diasaskan pada 1992 itu.