Rabu, 26 Ogos 2009

Presiden Istaf Mahu Selesai Kemelut Cara Baik

Dikemaskini : 27 OGOS 2009/8.22

Presiden Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Jen Charouck Arirachakaran sedia bersemuka dengan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail bagi meletakkan titik noktah kepada kemelut yang melanda sukan itu, ketika ini.

Kesudian Charouck itu dinyatakan kepada Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi ketika mereka mengadakan pertemuan tidak rasmi penuh bermakna ketika sama-sama menghadiri seminar antarabangsa di Lausanne, minggu lalu.

Kok Chi, berkata Charouck mahu menyelesaikan kemelut itu secara baik demi menjaga nama baik Malaysia dan Thailand - dua negara yang menjadi peneraju utama sepak takraw di peringkat dunia.

“Saya berkesempatan berjumpa Charouck dan berbincang mengenai isu sepak takraw dan presiden Istaf itu bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan presiden PSM untuk mencari jalan penyelesaian terbaik kepada isu berbangkit ketika ini.

“Dia juga menjelaskan Istaf tidak mahu isu itu berpanjangan serta masih menganggap Datuk Ahmad sebagai sahabat baiknya dan ia tidak seharusnya mengeruhkan persefahaman antara dua negara yang menjadi peneraju utama sepak takraw.

“Charouck memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan perkara ini dan hanya meminta sedikit kesabaran daripada pihak Malaysia,” kata Kok Chi yang akan membawa mesej Charouck itu dan hasil pertemuan dengan presiden Istaf itu kepada Ahmad.

Isu sepak takraw yang bermula dengan hanya membabitkan bola baru - Marathon Gen II - kini sudah tersimpang jauh daripada fokus sebenar terutama sekali perang mulut dan tuding menuding yang berlaku antara Presiden PSM dan Setiausaha Agung Istaf, Halim Kader.

Tidak mahu melihat kemelut itu berpanjangan hingga membantutkan pembangunan sukan itu, Kok Chi mengambil inisiatif untuk menjadi orang tengah untuk cuba menyelesaikan masalah itu dan mengambil kesempatan daripada seminar antarabangsa di Lausanne untuk mengadakan pertemuan dengan Charouck.

Walaupun tidak diberikan tugasan selaku wakil khas PSM, Kok Chi menggalas tanggungjawab tidak rasmi untuk cuba menyelesaikan perbalahan yang semakin meruncing antara PSM dan Istaf, demi kepentingan kedua-dua pihak, lebih-lebih bagi membela nasib atlit.



E-mail Artikel Ini Kepada Rakan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan