Selasa, 18 Ogos 2009

Penarikan diri pasukan sepak takraw negara dibincang hangat

Intan Abdullah
Thu | Dec 06, 07 | 11:15:24 am MYT
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Dewan Rakyat semalam hangat membincangkan topik pemboikotan pasukan sepak takraw negara, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam Sukan SEA di Korat, Thailand.
Iklan

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa (Kementerian Belia dan Sukan), Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) mempertikaikan tindakan PSM yang dianggap telah mencatatkan sejarah hitam dalam arena sukan tanah air.
Kata-kata beliau telah mengundang reaksi kurang senang daripada Dato' Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor, lalu bangkit mempertahankan PSM.
Raja Ahmad mempertikaikan kewajaran PSM menarik diri atas alasan tidak bersetuju dengan bola bersalut getah yang digunakan pada temasya itu.
"Tiba-tiba hari ini (PSM) menarik diri kerana bola yang kononnya tak sesuai dan boleh menyebabkan kecederaan," katanya mengundang situasi dewan gamat kira-kira setengah jam yang menyebabkan Timbalan Speaker terpaksa mendesak Raja Ahmad menyelesaikan ucapannya.
Mohamad yang tidak mahu mengalah daripada mempertahankan tindakan PSM melahirkan kehairanan berkata: "Saya tak tahu apa maksud yang tersirat dan tersemat di hati Larut (Raja Ahmad) membangkitkan isu penarikan diri PSM. Sama ada nak sokong atau hentam, saya tidak faham."
"Saya pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Sukan SEA tersebut," katanya yang tiba-tiba dicelah oleh Mohamad yang duduk bersebelahan selang satu kerusi daripadanya.
Mohamad yang ingin menjelaskan alasan penarikan diri tersebut menyebabkan Raja Ahmad berasa tidak berpuas hati sambil memegang buku peraturan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan beliau boleh meneruskan ucapannya.
"Nanti Yang Berhormat berucaplah, sekarang ini giliran saya yang berucap. Bagilah peluang saya menghabiskan ucapan saya dulu," kata Raja Ahmad memujuk Mohamad yang kian panas apabila isu bola sepak takraw disebutkan.
Persoalan penarikan diri ini turut menjadi topik perbincangan hangat oleh beberapa ahli parlimen lain yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan memandangkan ia adalah sukan tradisi negara. - mns _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan