Rabu, 26 Ogos 2009

Vietnam, Indonesia dan Brunei turut jejak Kanada kecam peneraju sekretariat Istaf



SELEPAS Kanada tampil menuntut Abd Halim Kader (gambar) yang menerajui sekretariat badan induk sepak takraw antarabangsa (Istaf) meletak jawatan, beberapa negara lain turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap cara pemimpin itu menangani isu bola bersalut getah.


Myanmar menjadi negara pertama mengemukakan bantahan terhadap Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) membantah penggunaan bola bersalut getah sebelum ia disusuli Vietnam, Indonesia dan Brunei.


Setiausaha Persatuan Sepak Takraw Indonesia, Tirowali menuntut Istaf perlu segera mengadakan mesyuarat bagi menamatkan kemelut itu, lebih-lebih lagi Kongres tidak pernah diadakan sejak 2004 dan isu bola getah ini tidak pernah dibincangkan.


“Kita harap perkara ini diselesaikan. Apa yang malang, ada pemimpin yang cuba menghapuskan sukan warisan Nusantara ini sebelum ia sempat tiba ke mercu Sukan Olimpik.


“Pendirian PSM dalam hal ini amat terpuji dan mampu membuka mata semua pihak,” katanya ketika dihubungi Harian Sukan, semalam.


Beliau mengulas pendedahan Kanada mengenai kepincangan terutama oleh Halim selaku Setiausaha Agung Istaf dan Bendahari Istaf, Boonchai Lorhpipat selaku tuan punya syarikat bola getah Marathon Gen II yang menjadi punca pertikaian.


Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail, berkata sebenarnya sudah banyak negara menyedari kepincangan yang berlaku dan menyokong pendirian Malaysia berkaitan isu ini.


“Saya menjangkakan lebih banyak negara lain akan tampil menyatakan sokongan mereka kerana seperti Malaysia, negara terbabit mahu membangunkan sukan ini sehingga ia diterima di Olimpik,” katanya.


Kelmarin, Presiden Persatuan Sepak Takraw Kanada, Rick Engel yang juga Naib Presiden Istaf, mempersoalkan bagaimana bola getah yang tidak diluluskan Kongres digunakan pada Sukan Sea di Korat, Disember lalu.


Malah, Kanada mempertikaikan mengapa Istaf tidak bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini, selain mendakwa Halim gagal membentangkan laporan kewangan Istaf sejak 2000 dan beberapa keputusan dibuatnya melanggar perundangan badan induk itu.



Ahmad berkata, sebelum ini negara anggota Istaf tidak berani tampil mempersoalkan pentadbiran badan induk itu kerana ingin menjaga keharmonian dalam gabungan berkenaan tetapi kini mereka mula menyedari kepincangan itu sudah melampaui batas dan perlu dihentikan.


Mengulas perkara sama, Exco Persatuan Sepak Takraw Kuala Lumpur, Zullkafly Md Din, berkata sebelum ini, beliau didatangi pegawai persatuan sepak takraw dari Jepun dan Amerika Syarikat yang menegaskan, mereka berdiri kukuh di belakang PSM.


“Pegawai Jepun dan Amerika dalam setiap pertemuan menegaskan, mereka sentiasa menyokong Malaysia berkaitan usaha menamatkan kepincangan dalam Istaf serta usaha membangunkan sukan ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan