Selasa, 18 Ogos 2009

Takraw: PSM beri bukti baru pada MSN, MOM





KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memberi bukti terbaru kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mempertahankan tindakan mereka menarik diri daripada Sukan SEA Korat.
Bukti yang dimaksudkan adalah hasil kajian yang dijalankan sebuah universiti tempatan berhubung kesan penggunaan bola takraw yang dipertikaikan PSM sebelum ini.
Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata, pihaknya juga akan menggunakan hasil kajian itu untuk turut meyakinkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
“PSM percaya mampu meyakinkan semua pihak tentang kesan negatif penggunaan bola takraw Maraton New Generation yang dihasilkan di Thailand itu.
“Kajian tersebut mendedahkan bola tersebut memang padat dan laju serta boleh mendatangkan kecederaan jangka panjang kepada otak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog dengan MOM di sini, semalam. Sebelum itu, PSM turut mengadakan pertemuan dengan MSN.
Menurut Ahmad, MSN sudah pun memahami tentang apa yang berlaku dan akan memberi sokongan penuh kepada PSM.
Bagaimanapun ketika diajukan soalan, Ahmad enggan mendedahkan nama universiti yang membuat kajian itu.
Ini kerana ia akan menjadi modal untuknya mempertahankan diri selepas syarikat pengeluar bola tersebut berhasrat membawa isu ini ke mahkamah.
Pada sesi dialog dengan MOM itu, PSM turut memberi beberapa alasan yang dianggap mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan menarik diri daripada Sukan SEA.
Antaranya ialah penggunaan bola baru itu melanggar buku peraturan Korat di bawah artikel 5 fasa 8 kerana tidak mendapat kelulusan terlebih dulu.
Di samping itu, harganya RM45 sebiji yang terlalu mahal boleh `membunuh’ pembangunan sepak takraw di negara ini dan negara lain.
“Dengan harga yang sedemikian, PSM terpaksa membelanjakan RM25 juta untuk membeli bola sahaja berbanding bola lama, kita hanya belanja RM2.5 juta sahaja,” tegasnya.
Sementara itu, MOM masih perlu meneliti beberapa fakta lagi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan PSM.
Naib presiden MOM, Prof. W.Y. Chin berkata, walaupun sesi dialog semalam membincangkan secara mendalam mengenai isu bola dan penarikan diri takraw, pihaknya perlukan masa untuk menilai segala alasan dan fakta yang diberi PSM.
“Mungkin MOM akan menyatakan pendirian bulan depan sama ada untuk membantu PSM atau pun tidak dalam isu ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan