Selasa, 18 Ogos 2009

Giliran Halim 'serang' PSM






KERATAN KOSMO! 8 Februari 2008.





"JANGAN gunakan bangsa penjajah untuk menjatuhkan Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan jangan gunakan media untuk salur maklumat yang salah jika tidak tahu kebenarannya."
Demikian kata dua Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang didakwanya mengheret Presiden Persatuan Sepak Takraw Kanada (STAC), Rick Engel dalam kemelut antara Istaf dan PSM.
Menurut Halim, dakwaan Engel bahawa Istaf tidak bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini selain mendakwa dia gagal membentangkan laporan kewangan Istaf sejak tahun 2000, jelas sekali tidak berasas.
Bagi Halim, tindakan PSM menggunakan STAC untuk mencabar Istaf adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku dalam kemelut persatuan yang mula dipelopori masyarakat Melayu.
"Kenapa nak gunakan bangsa penjajah sebagai sokongan sedangkan kita tahu mereka memang mahu memecah belahkan bangsa kita?" kata Halim semalam.
"Engel dan Ahmad telah membuat satu pembohongan besar bahawa saya gagal membentangkan laporan kewangan Istaf kerana ia telah dibentangkan oleh bendahari Istaf, Boonchai Lophipart selaku pemegang amanah Istaf pada 31 Disember 2006 yang turut dihadiri Ahmad.
"Malah, akaun Istaf ini juga telah diperiksa (audit) oleh akauntan awam yang bertauliah, Major Pracha Thrummachoti. Saya ada bukti-buktinya," katanya lagi.
Mengenai tuduhan bahawa Istaf tidak pernah bermesyuarat untuk menyelesaikan kemelut ini, Halim menegaskan bahawa usaha itu telah diadakan iaitu sebelum bermulanya temasya Sukan SEA XXIV di Korat tahun lepas.
"Kami telah adakan satu mesyuarat sebelum Sukan SEA Korat bermula iaitu pada 2 Julai 2007 di Bangkok yang turut dihadiri Ahmad dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahaya.
"Jadi tidak timbul isu bahawa kami tidak pernah cuba menyelesaikan kemelut ini kerana pada hakikatnya kami telah lakukan apa yang terdaya.
"Jadi bagi saya, semua maklumat ini adalah salah dan mereka telah menyalahgunakan pihak media untuk kepentingan mereka sedangkan kebenarannya ada bersama saya," kata Halim.
Justeru, campur tangan oleh STAC dalam kemelut yang bermula dengan isu penggunaan bola getah Marathon Gen II keluaran syarikat milik Boonchai Lorhpipat itu juga amat memeranjatkan Halim.
"Mengapa Engel mahu bangkitkan isu bola getah ini sedangkan pada mesyuarat di Bangkok itupun mereka tidak hadir.
"Jadi, mereka tidak tahu menahu tentang bola itu, tapi berani pula kata bola itu tidak boleh digunakan. Apa semua ini," ujarnya lagi.

Penarikan diri pasukan sepak takraw negara dibincang hangat

Intan Abdullah
Thu | Dec 06, 07 | 11:15:24 am MYT
KUALA LUMPUR, 6 Dis (Hrkh) - Dewan Rakyat semalam hangat membincangkan topik pemboikotan pasukan sepak takraw negara, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam Sukan SEA di Korat, Thailand.
Iklan

Dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 peringkat jawatankuasa (Kementerian Belia dan Sukan), Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) mempertikaikan tindakan PSM yang dianggap telah mencatatkan sejarah hitam dalam arena sukan tanah air.
Kata-kata beliau telah mengundang reaksi kurang senang daripada Dato' Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang merupakan Presiden Persatuan Sepak Takraw Johor, lalu bangkit mempertahankan PSM.
Raja Ahmad mempertikaikan kewajaran PSM menarik diri atas alasan tidak bersetuju dengan bola bersalut getah yang digunakan pada temasya itu.
"Tiba-tiba hari ini (PSM) menarik diri kerana bola yang kononnya tak sesuai dan boleh menyebabkan kecederaan," katanya mengundang situasi dewan gamat kira-kira setengah jam yang menyebabkan Timbalan Speaker terpaksa mendesak Raja Ahmad menyelesaikan ucapannya.
Mohamad yang tidak mahu mengalah daripada mempertahankan tindakan PSM melahirkan kehairanan berkata: "Saya tak tahu apa maksud yang tersirat dan tersemat di hati Larut (Raja Ahmad) membangkitkan isu penarikan diri PSM. Sama ada nak sokong atau hentam, saya tidak faham."
"Saya pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menarik diri daripada menyertai Sukan SEA tersebut," katanya yang tiba-tiba dicelah oleh Mohamad yang duduk bersebelahan selang satu kerusi daripadanya.
Mohamad yang ingin menjelaskan alasan penarikan diri tersebut menyebabkan Raja Ahmad berasa tidak berpuas hati sambil memegang buku peraturan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat bagi memastikan beliau boleh meneruskan ucapannya.
"Nanti Yang Berhormat berucaplah, sekarang ini giliran saya yang berucap. Bagilah peluang saya menghabiskan ucapan saya dulu," kata Raja Ahmad memujuk Mohamad yang kian panas apabila isu bola sepak takraw disebutkan.
Persoalan penarikan diri ini turut menjadi topik perbincangan hangat oleh beberapa ahli parlimen lain yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai memalukan memandangkan ia adalah sukan tradisi negara. - mns _

Takraw: PSM beri bukti baru pada MSN, MOM





KUALA LUMPUR - Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memberi bukti terbaru kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam mempertahankan tindakan mereka menarik diri daripada Sukan SEA Korat.
Bukti yang dimaksudkan adalah hasil kajian yang dijalankan sebuah universiti tempatan berhubung kesan penggunaan bola takraw yang dipertikaikan PSM sebelum ini.
Presidennya, Datuk Ahmad Ismail berkata, pihaknya juga akan menggunakan hasil kajian itu untuk turut meyakinkan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf).
“PSM percaya mampu meyakinkan semua pihak tentang kesan negatif penggunaan bola takraw Maraton New Generation yang dihasilkan di Thailand itu.
“Kajian tersebut mendedahkan bola tersebut memang padat dan laju serta boleh mendatangkan kecederaan jangka panjang kepada otak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog dengan MOM di sini, semalam. Sebelum itu, PSM turut mengadakan pertemuan dengan MSN.
Menurut Ahmad, MSN sudah pun memahami tentang apa yang berlaku dan akan memberi sokongan penuh kepada PSM.
Bagaimanapun ketika diajukan soalan, Ahmad enggan mendedahkan nama universiti yang membuat kajian itu.
Ini kerana ia akan menjadi modal untuknya mempertahankan diri selepas syarikat pengeluar bola tersebut berhasrat membawa isu ini ke mahkamah.
Pada sesi dialog dengan MOM itu, PSM turut memberi beberapa alasan yang dianggap mereka kukuh untuk mempertahankan tindakan menarik diri daripada Sukan SEA.
Antaranya ialah penggunaan bola baru itu melanggar buku peraturan Korat di bawah artikel 5 fasa 8 kerana tidak mendapat kelulusan terlebih dulu.
Di samping itu, harganya RM45 sebiji yang terlalu mahal boleh `membunuh’ pembangunan sepak takraw di negara ini dan negara lain.
“Dengan harga yang sedemikian, PSM terpaksa membelanjakan RM25 juta untuk membeli bola sahaja berbanding bola lama, kita hanya belanja RM2.5 juta sahaja,” tegasnya.
Sementara itu, MOM masih perlu meneliti beberapa fakta lagi sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan PSM.
Naib presiden MOM, Prof. W.Y. Chin berkata, walaupun sesi dialog semalam membincangkan secara mendalam mengenai isu bola dan penarikan diri takraw, pihaknya perlukan masa untuk menilai segala alasan dan fakta yang diberi PSM.
“Mungkin MOM akan menyatakan pendirian bulan depan sama ada untuk membantu PSM atau pun tidak dalam isu ini,” katanya.

Selasa, 4 Ogos 2009

Jom sokong PSM kembalikan nama “Sepak Takraw” kepada “Sepak Raga”!!




Kembalikan sepak raga – PSM

KUALA LUMPUR – Langkah Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam memerangi induknya, Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) semakin panjang semalam apabila mereka mengesahkan kesediaan untuk menubuhkan badan induk baru selain mengembalikan nama asal sukan itu kepada ‘sepak raga’.
Kerana tidak ingin tunduk lagi kepada Istaf dan Astaf yang diterajui oleh pegawai Thailand dan Singapura, PSM turut akan menyusuli rancangan penubuhannya dengan mendapatkan sekutu dari lima benua khususnya selepas secara rasmi meninggalkan kedua-dua badan induk tersebut, tidak lama lagi.
Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, langkah untuk ‘berkerat rotan dan berpatah arang’ dengan Astaf dan Istaf yang sekian lama menyeleweng dalam pentadbiran mereka, digariskan hasil perjumpaan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail dengan beberapa pegawai kanannya di ibu kota, Isnin lalu.
“PSM benar-benar serius untuk keluar daripada Astaf dan Istaf malah kami sudah mula bergerak dalam mencari sekutu dari lima benua bagi menubuhkan satu badan induk baru yang turut akan menggunakan semula nama Sepak Raga,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini.
Inilah langkah berani terbaru PSM selepas nekad menarik diri daripada Sukan SEA Korat, Thailand, 2 Disember lalu kerana membantah penggunaan bola baru bersalut getah, Marathon New Generation – kali pertama sejak Malaysia mengasaskannya pada Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.
Tegas Tengku Adnan lagi, PSM akan turut meminta kesemua ahli gabungannya supaya menghantar wakil bagi menyertai satu perhimpunan tertutup di sebuah dewan di ibu kota pada 8 Februari ini bagi membolehkan mereka diberikan penjelasan yang tepat dan menyeluruh berhubung hasrat meninggalkan Astaf dan Istaf.
Memorandum
Katanya, perhimpunan ini akan disusuli penyerahan memorandum bantahan secara beramai-ramai kepada Kedutaan Thailand di sini terhadap kenyataan Setiausaha Agung Astaf yang juga ‘tauke’ pengeluar bola kontroversi Marathon, Boonchai Lorhpipat, Jumaat lalu yang cuba mencampuri urusan pentadbiran sepak takraw Malaysia.
Tengku Adnan selain itu turut menempelak Presiden Astaf, Abdul Halim Kader yang dalam suratnya kepada PSM Isnin lalu meminta supaya tidak meneruskan hasrat keluar demi mengenangkan jasa dan sumbangan bekas Allahyarham Tan Sri Khir Johari dan Datuk Seri Yusoff Latiff.
“PSM juga melihat ada di kalangan orang tertentu dalam Astaf dan Istaf yang mahu menghilangkan identiti Melayu dalam sukan sepak takraw,” tegasnya.
Sementara itu, satu mesyuarat tergempar Lembaga Eksekutif Istaf bakal diadakan Ahad ini, sehari selepas Majlis Tertinggi PSM bersidang dengan kedua-duanya berkaitan hasrat Malaysia keluar meninggalkan badan induk itu.
Abdul Halim berkata, mesyuarat khas itu akan berlangsung di pejabat Majlis Olimpik Thailand di Bangkok dengan dipengerusikan oleh Presiden Istaf dan Persatuan Takraw Thailand (TAT), Jen. (B) Charouck Arirachakaran.
“Agenda utama mesyuarat ini ialah membincangkan bentuk tindakan susulan yang boleh diambil ke atas PSM atas hasrat Presidennya, Datuk Ahmad Ismail untuk meninggalkan Istaf dan Astaf atau memikirkan adakah cara lain untuk menanganinya,” katanya dari Singapura kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
“PSM perlu menghentikan hasrat untuk keluar Astaf dan Istaf demi menghormati sumbangan dan jasa serta pengorbanan Allahyarham Tan Sri Khir dan Datuk Seri Yusoff yang juga Presiden dan Setiausaha Agung pertama PSM dan Astaf sejak penubuhannya pada 1967 di Jakarta, Indonesia,” katanya.
Kata Halim yang turut memimpin Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses), hasrat keluar juga cuma akan mengembalikan Malaysia ke takuk lama atau kedudukan sebelum penubuhan Astaf di mana dunia langsung tidak mengenalinya sebagai penggerak dan perintis sepak takraw ke arena antarabangsa.
“Malah gara-gara hasrat itu, kedudukan tertinggi Malaysia dalam badan induk sukan antarabangsa akan lenyap sekali gus menurunkan sepak takraw negara itu ke taraf sukan tempatan sahaja sehingga memberikan peluang negara lain memintasnya, satu masa nanti,” katanya.
“Dengan mengeluarkan PSM, mahukah Datuk Ahmad membiarkan seluruh warga Malaysia melupakan amanah Allahyarham Tan Sri Khir yang turut merangka Perlembagaan Istaf dengan satu fasalnya menyebut, ‘Jawatan Presiden Istaf mestilah diisi oleh orang Asia’,” tegas Halim.
Katanya, fasal berkenaan adalah untuk menjamin tampuk pentadbiran Istaf kekal di tangan mana-mana wakil dari tiga negara perintis bersama sepak takraw – Malaysia, Singapura dan Thailand tetapi ia bakal berkubur begitu sahaja jika benar PSM meninggalkan badan induk yang diasaskan pada 1992 itu.

Isnin, 20 Julai 2009

Usah terlalu hormati Thailand




PERTEMBUNGAN antara Malaysia dan Thailand sentiasa menjanjikan saingan sengit.



MUNGKIN ramai yang masih ingat libasan maut Adnan Saidin pada era 1980-an.
Libasan anak Melayu inilah yang sering menghadirkan resah kepada musuh tradisi, Thailand khususnya pemain unggul mereka ketika itu, Veeras Na Nongkhai.
Begitu juga dengan kelibat nama-nama lain seperti Zabidi Shariff, Iskandar Arshad, Rahim Kassim, Rehan Mat Din, Sahak Yassin, Raziman Hassan dan Ku Halim Ku Musa.
Generasi ini adalah generasi emas yang telah meletakkan nama Malaysia sebagai kuasa utama sukan sepak takraw dunia.
Lebih membanggakan, kehebatan, ketangkasan dan kejituan mereka turut mendapat pengiktirafan.
Adnan misalnya pernah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Asia 1984 selain digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Begitu juga dengan regu Iskandar, Ahmad Jais Baharum, Malek Samsudin dan Zabidi yang suatu ketika dahulu pernah dipilih menerima anugerah Olimpian 1994 menerusi kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hiroshima tahun tersebut.
Semuanya indah untuk diceritakan, apatah lagi sepak takraw adalah sukan yang cukup dekat dengan masyarakat Malaysia dan sukan tradisi bagi orang Melayu.
Hari ini, sejarah itu hanya tinggal kenangan.


HARAPAN NEGARA... Barisan pemain muda memerlukan masa bagi mengembalikan semula maruah sukan sepak takraw negara.



Tiada lagi libasan maut ala Adnan Saidin dapat disaksikan. Tiada juga sorakan gemuruh penyokong tempatan ketika menyaksikan anak Malaysia beraksi di gelanggang.
Semuanya macam sudah berakhir.
Sebaliknya, negara asing yang lain termasuk Korea Selatan terus maju ke hadapan, sejajar dengan hasrat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang bersungguh-sungguh membawa sukan orang Melayu ini ke pentas Sukan Olimpik pada tahun 2020.
Malahan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob turut memberi sokongan terhadap usaha membawa sepak takraw ke Sukan Olimpik 2020.
Namun baginya, adalah menjadi satu kerugian andai usaha untuk meletakkan sepak takraw di pentas dunia tidak seiring dengan komitmen untuk mengembalikan kegemilangan pasukan negara selain usaha pembangunan di peringkat akar umbi.
Persoalan kini, apa agaknya kekurangan yang ada pada pemain negara sehingga mendapati sukar untuk menyekat penguasaan Thailand?
Adakah disebabkan tiada kejohanan berprestij setaraf Piala Khir Johari ataupun tiada gelanggang seumpama Kejohanan Sedunia MAS-Utusan-RTM yang pernah menjadi kebanggaan negara suatu ketika dahulu.





Namun, bagi Persatuan Sepak Takraw (PSM) yang merupakan badan bertanggungjawab dalam sukan ini, mereka mempunyai pandangan tersendiri.
"Kekuatan mental pemain kita kurang," kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya baru-baru ini.
"Inilah kelemahan pemain-pemain kita dan inilah juga penyakit yang menggagalkan usaha kita untuk menyekat penguasaan Thailand."
Dari segi kemampuan dan bakat, Arshad mengakui pemain negara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemain-pemain Thailand.
"Tiada kurangnya bagi pemain kita andai faktor kemahiran dan taktikal dijadikan ukuran. Pemain kita setanding dengan pemain Thailand, malahan lebih baik daripada kuasa utama lain seperti Myanmar, Vietnam, Indonesia mahupun Singapura.
"Satu-satunya permasalahan kita adalah mental," tambah Arshad.


BARISAN pemain negara mampu kembali menyekat penguasaan Thailand suatu hari nanti.






PEMAIN negara perlu ditekankan dengan aspek kekuatan mental khususnya ketika berdepan lawan sukar seperti Thailand.













Begitupun, Arshad tidak menafikan bahawa badi Thailand sentiasa menghantui pemain-pemain Malaysia ketika berada di dalam gelanggang.
"Sejak dari dahulu lagi Thailand adalah musuh No. 1 kita. Rekod perlawanan akhir dalam mana-mana kejohanan utama sering menemukan kita dengan negara itu.
"Namun, sejak kebelakangan ini, kita sering tewas kepada mereka sama ada di pentas Sukan SEA mahupun Sukan Asia. Kekalahan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pemain generasi baru.
"Pemain-pemain kita macam terlalu menghormati Thailand sampai satu ketika kita terpaksa tunduk kepada pemain negara itu walaupun berjaya mendahului dengan selesa dalam satu-satu perlawanan. Ini realiti dan hakikat yang sebenarnya," tambahnya.
Begitupun, PSM tidak tunduk dengan kelemahan itu, sebaliknya Arshad menjelaskan bahawa pihak persatuan telah merancang beberapa strategi baru termasuk latihan yang memberi fokus kepada kekuatan mental.
"Saya yakin dengan usaha berterusan PSM selain kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), misi kita untuk memecahkan tradisi Thailand akan berhasil tahun ini," jelas Arshad penuh yakin.
Bagi ketua jurulatih negara, Haris Abd Rahman, dia mempunyai pandangan peribadi mengenai kegagalan pemain negara memecahkan dominasi Thailand dalam sukan sepak takraw.
"Daripada apa yang saya lihat, kemerosotan pemain mula berlaku pada tahun 1999 selepas kita meraih pingat emas pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima," jelas Harris.
Namun, Haris mengakui sepak takraw kita kembali bersinar empat tahun lalu menerusi kejayaan trio Mohd. Normanizam Ahmad, Mohd. Futra Abdul Ghani dan Mohd. Zulkarnain Arif meraih emas pada Sukan SEA 2005 di Manila. Sejak kejayaan di Manila itu, pemain kita gagal menyinar.
"Dari segi permainan, pemain kita telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada satu kejohanan ke kejohanan yang lain," jelas Haris merujuk kepada prestasi semasa yang dipamerkan anak didiknya pada Kejohanan Jemputan Piala Pusingan Tuanku Raja Muda Perlis di Kangar minggu lalu.
"Namun, pemain kita hanya kekurangan dari segi pengalaman dan kematangan.
"Pengalaman ini termasuklah strategi melakukan servis dan libasan. Selain itu, kita juga perlu melihat faktor-faktor lain termasuklah sistem pengadilan dan masalah peribadi pemain."
Apa yang diperlukan oleh bekas jurulatih Korea dan Singapura ini adalah masa dan sokongan daripada pelbagai pihak kepada pasukan negara.
"Beri kami masa kerana saya dapat rasakan bahawa inilah barisan terbaik yang kita ada dan mereka inilah yang mampu mengembalikan kegemilangan sepak takraw di Malaysia," tambah Harris yang menjadikan Sukan SEA di Laos hujung tahun ini sebagai penanda aras kepada kebangkitan pasukan negara.
"Saya merayu kepada pemain yang ada agar tunjukkan semangat untuk berkhidmat dengan negara dan buatlah sesuatu yang boleh dibanggakan."
Harapan yang sama disuarakan kapten pasukan negara, Mohd. Khairuddin Adenan yang mahu melihat kegemilangan terdahulu berulang pada zamannya.
"Sebagai pemain, inilah cabaran besar bagi kami dan sudah semestinya kami juga mempunyai misi untuk mengembalikan maruah sepak takraw negara," jelasnya.

Sejarah & Cara -Cara Permainan Sepaktakraw





Sejarah Sepak Takraw.
Permainan sepak raga wujud sejak 600 tahun lalu. Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, selain dimainkan oleh golongan bangsawan, rakyat jelata juga menggemari permainan ini. Dalam sejarah Melayu menceritakan tentang Raja Muhammad, putera Sultan Mansor Shah Muhammad tertanggal tanjaknya akibat terkena bola raga tendangan Tun Besar. Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis.Dalam permainan sepak raga, beberapa pemain berdiri dan membentuk satu bulatan. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan Permainan ini memerlukan ketangkasan dan kecekapan fizikal serta ketajaman mata untuk mengukur pergerakan. Matlamat setiap pemain ialah memantapkan kemahiran menerima hantaran bola raga dan menimangnya dengan selesa selama yang mungkin. Jangka masa permainan tidak ditentukan kecuali dalam pertandingan yang lazimnya dianjurkan sebagai acara berpasukan. Pasukan yang berjaya membuat timangan paling banyak dalam suatu tempoh yang ditetapkan, dikira menang.Pada masa ini sepak raga tiada lagi dimainkan, ianya telah ditukar dengan nama kepada sepak takraw. Sepak takraw mengadukan dua pasukan yang dipisahkan oleh jaring, seperti dalam permainan badminton. Pasukan sepak takraw terdiri daripada tiga pemain. Tekong melakukan sepak mula dan mengawal bahagian belakang gelanggang. Apit kiri dan apit kanan mengawal bahagian hadapan gelanggang dan memikul tugas utama mematikan bola di gelanggang lawan.
Peralatan Sepak Takraw.
1. GELANGGANG
1.1 Ukuran gelanggangBerukuran 13.4 x 6.1m dan bebas dari sebarang halangan setinggi 8m dari permukaan lantai ( gelanggang pasir dan rumput tidak digalakan).
1.2. Garisan GelanggangLebar semua garisan gelanggang tidak boleh melebihi 0.04m dan dilukis hala-dalam dari penjuru ukuran gelanggang. Semua garisan hendaklah dilukis sekurang-kurangnya 3.0m dari sebarang halangan.
1.3. Garisan Teras Garisan selebar 0.02m yang membahagaikan gelanggang kepada 2 bahagian yang sama besar.
1.4. Garisan Suku BulatanPada pertemuan-silang antara garisan tengah dengan setiap garisan tepi, garisan suku bulatan hendaklah dilukis dari garisan tepi ke ke garisan tengah berjejari 0.9m diukur dan dilukis hala-keluar dari jejari 0.9m.
1.5. Bulatan Sepak Mula Bulatan sepakmula berjejari 0.3m hendaklah dilukis pada petak kiri dan kanan gelanggang, yang man pusatnya adalah 2.45m dari garisan belakang gelanggang, 4.25m dari garisan tengah gelanggang dan 3.05m dari garisan tepi. Garisan 0.04m ini hendaklah diukur dan dilukis hala keluar dari jejari 0.3m.
2. TIANG
2.1 Ukuran tiang Tiang mestilah menpunyai ketinggi 1.55m (1.45m untuk Wanita) dari permukaan gelanggang dan hendaklah cucup teguh untuk mengekalkan ketegangan jaring. Ianya hendaklah diperbuat dari bahan yang teguh dan jejarinya tidak boleh melebihi 0.04m.
2.2 Kedudukan Tiang Tiang hendaklah didirikan atau ditempatkan 0.3m dari garisan tepi dan sebaris dengan garisan teras.
3. JARING
3.1 Jaring hendaklah diperbuat dari tali biasa atau nylon yang halus dengan siratan berukuran diantara 0.06m hingga 0.08m. Jaring hendaklah 0.7m lebar dan tidak melebihi 6.10m panjang dan pada kedua-dua hujungnya diletatkan pita 0.05m dari bahagian atas hingga kebawah dan hendaklah dalam kedudukan sebaris dan menegak dengan garisan tepi. Pita inidinamakan pita sempadan.
3.2. Dibahagian atas dan bawah jaring hendaklah dilapik dengan pita 0.05m yang diperkuat dengan benang atau nylon. Pita ini berfungsi sebagai pengampu tali regangan. Setelah diregang, bahagian atas jaring hendaklah 1.52m (1.42m untuk wanita) tinggi dibahagaian tengah gelanggang dan 1.55m (1.45m untuk wanita) ditiang. a. 1.55m (1.42 untuk wanita) - ukuran ditepi tiangb. 1.52m (1.45 untuk wanita) - ukuran dibahagian tengah jaring.
4. BOLA SEPAK TAKRAW
Berbentuk bulat dan mempunyai 12 lubang dengan 20 pertemuan silang. Ianya diperbuat dari satu lapis rotan atau fiber sintetik. Jika ianya perbuat dari rotan, lapisan tersebut mestilah mengandungi diantara 9 hingga 11 urat. Ukuran galis lilitnya mestilah diantara 0.42m hingga 0.44m (0.43m hingga hingga 0.45m untuk Wanita).
Berat bola sebelum dimainkan hendaklah diantara 170gm hingga 180gm (150gm hingga 160gm untuk Wanita).
5. PEMAIN PEMAIN
5.1. Sukan ini dimainkan oleh 2 Regu yang mana setiap Regu mengandungi 3 orang Pemain.
5.2. Salah seorang dari Pemain ini hendaklah berada dibelakang dan dinamakan Tekong.5.3. Dua orang lagi Pemain hendaklah berada di hadapan, seorang disebelah kiri dan seorang lagi disebelah kanan. Pemain disebelah kiri dinamakan Apit Kiri manakala yang berada disebelah kanan dinamakan Apit Kanan.
6. PERALATAN / PAKAIAN PEMAIN
6.1. Pemain pemain hendaklah memakai Jersey/T-shirt dan berseluar pendek (T-shirt berkolar bulat dengan seluar sehingga paras lutut untuk wanita) dan berkasut sukan dengan tapak getah. Adalah dilarang pemain memakai seberang benda/pakaian yang boleh membahayakan Pasukan Lawan semasa pertandingan.Dalam keadaan cuaca sejuk, pemain-pemain dibenarkan memakai track suits.
6.2. Sebarang benda yang dipakai oleh Pemain dianggap sebahagian dari anggotanya. Jersey/T-Shirt mestilah dimasukan kedalam (seluar)
6.3. Sebarang alatan/benda yang boleh melajukan bola takraw atau membantu mempercepatkan pergerakan pemain tidak dibenarkan.6.4. Ketua Regu hendaklah memakai ‘Arm Band’ dilengan kirinya.
6.5. Semua Jersey/T-Shirt hendaklah bernombor antara 1 hingga 15 dibahagian belakang.Setiap pemain mestilah diberi satu nombor tetap sepanjang kejohanan. Hanya nombor 1 hingga 15 dibenarkan untuk digunakan oelh setiap pasukan yang bertanding. Nombor ini hendaklah berukuran tidak kurang dari 19cm tinggi.
7. GANTIAN PEMAIN
7.1. Gantian Pemain dibenarkan pada sebarang masa asalkan ianya diminta oleh Pengurus Pasukan atau Jurulatih Rasmi kepada Pengadil Rasmi dan semasa bola tidak didalam permainan.7.2. Setiap Regu dibenarkan membuat satu gantian sahaja.
7.3. Pemain yang diperintah keluar gelanggang oleh Pengadil semasa permainan, boleh digantikan asalkan gantian belum dilakuan.
7.4. Mana-mana pemain yang telah bermain atau diletakkan sebagai Pemain Simpanan dalam mana-mana Regu tidak dibenarkan bermain didalam Regu lain didalam pertandingan yang sama.
7.5. Mana-mana Regu yang mengandungi kurang dari 3 Pemain, tidak dibenarkan meneruskan permainan dan akan dianggap Kalah.
8. PEGAWAI-PEGAWAI
Permain diuruskan oleh Pegawai-Pegawai berikut:
I) I Pengadil Rasmi
ii) 2 Pengadil
iii) 6 Pengadil Garisan (4 digarisan tepi dan 2 digarisan belakang)Nota: Kedudukan 2 orang Pengadil Garisan untuk Gariasan Belakang hendaklah bersetentang dengan Pengadil.
9. UNDIAN DAN ‘WARM UP’
Sebelum permainan dimulakan, Pengadil akan membuat undian. Regu yang memengangi undian boleh memilih untuk Sepak mula atau Petak Gelanggang. Regu yang Sepak Mula hendaklah memulakan ‘Warm Up’ selama 2 minit dan di ikuti oleh Regu yang satu lagi. Hanya 5 orang sahaja dibenarkan bergerak bebas didalam gelanggang dengan mengunakan Bola Rasmi.10.
KEDUDUKAN PEMAIN-PEMAIN SEMASA SEPAK MULA
10.1. Semasa permain bermula, semua Pemain mesti berada didalam Petak masing masing dalam keadaan bersedia.
10.2. Tekong yang membuat Sepak Mula hendaklah sebelah kakinya berada didalam Bulatan Sepak Mula dan sebelah lagi kakinya hendaklah berada diluar Bulatan Sepak Mula untuk menyepak bola.
10.3. Kedua-dua apit Regu yang membuat Sepak Mula mestilah berada didalam Suku Bulatan masing-masing.
10.4. Pemain Regu Lawan bebas berada dimana-mana kawasan didalam Petak Gelanggangnya.
11. PERMULAAN PERMAINAN DAN SEPAK MULA
11.1. Regu yang memilih untuk memulakan permainan hendaklah memulakan permainan set pertama. Selepas tamat set pertama, kedua-dua Regu hendaklah menukar petak dan permenang memulakan set kedua.
11.2. Campakan hendaklah dibuat setelah Pengadil selesai mengumumkan Mata Pertandingan. Jika mana-mana pemain apit melontar bola sebelum pengadil mengumumkan mata pertandingan,campakan semula hendaklah dilakukan dan amaran diberikan kepada pelontar bola. Semasa melakukan sepak mula, sebaik sahaja bola disepak oleh penyepak mula, semua pemain bebas bergerak didalam petak gelanggang masing-masing.
11.3. Sepakan Mula cuma sah jika ianya melepasi jaring samada ia menyentuh jaring atau tidak melalui diantara dua Pita Sempadan jatuh didalam Petak Gelanggang Pasukan Lawan.
11.4. Sepakan Mula boleh dilakuan oleh Tekong dengan apa cara sekalipun asalkan salah satu dari kakinya sentiasa menyetuh gelanggang didalam Bulatan Sepak Mula.
12. PERKARA PERKARA BATAL
12.1. Pihak Sepak Mula
12.1.1. Apit yang melontar bola, memain-mainkan bola (melambung, menghempas,memberi kepada apit lain dan lain-lain) selepas pengadil selesai mengumumkan mata pertandingan.
12.1.2. Mana-mana apit mengangkat kaki, memijak Garisan atau melepasi jaring atau menyentuh jaring semasa campakan bola dibuat.
12.1.3. Tekong semasa melakuan sepak mula, sebelah kakinya tidak menyentuh gelanggang atau memijak garisan bulatan sepak mula.
12.1.4. Tekong tidak menyepak bola yang dilontar.
12.1.5. Bola menyetuh Pemain Regunya sebelum melintasi ke petak gelanggang lawan.
12.1.6. Bola melintasi jaring tetapi jatuh diluar gelanggan.
12.1.7. Bola tidak melintasi ke Petak Gelanggang Lawan.
12.2. Peneriama Sepak Mula
Melakuan tingkah-laku yang boleh mengganggu atau membuat bising atau ,menengking terhadap pihak lawan.
12.3. Kedua-dua Pihak semasa Permainan.
12.3.1. Memijak Garisan Tengah.
12.3.2. Mana-mana pemain yang menyentuh bola dikawasan lawan.
12.3.3. Mana-mana bahagian anggota Pemain memasuki kawasan lawan samada diatas atau dibawah jaring kecuali semasa ‘follow-through’
12.3.4. Memainkan bola lebih dari 3 kali berturutan.
12.3.5. Bola menyentuh tangan.
12.3.6. Bola melurut dianggota badan.
12.3.7. Memberhenti atau mengepit bola dibawah tangan/lengan, antara kedua-dua paha/kaki atau badan.
12.3.8. Sebarang anggota atau peralatan Pemain seperti kasut, pelilit kepala dan lain lain menyentuh jaring, tiang, kerusi Pengadil atau jatuh kekawasan lawan.
12.3.9. Bola terkena siling, bumbung, dinding atau lain lain benda.
12.3.10. Mana mana Pemain yang sengaja melambat-lambatkan permainan.
13. SISTEM KIRAAN MATA
13.1 Bila perkara batal dilakukan oleh semada bahagaian sepak mula atau menerima sepak mula, satu mata akan diberi kepada pihak lawan termasuk melakukan sepak mula seterusnya.
13.2 Mata kemenangan maksima untuk setiap set ialah 21 mata.
13.3 Permainan dijalankan didalam 2 set dengan 2 minit rihat diantaranya.
13.4 Jika masing-masing Regu memengangi 1 set, permainan akan ditentukan didalam set ketiga yang dinamakan ‘Tie Break’ deangan 15 mata.
13.5 Sebelum Pusingan ‘tie Break’ bermula, pengadil akan membuat undian dan bahagian yang memenangi undian akan membuat sepak mula. tukar petak akan berlaku bila satu Regu mencapai 8 mata.
14. MASA REHAT
Setiap Regu boleh meminta sekali ‘time out’ selama 1 minit oleh Pengurus Pasukan atau Jurulatih Rasmi bagi setiap set bila bola tidak didalam permainan. Hanya 5 orang sahaja yang dibenarkan berada di garisan belakang.15. PERMAINAN TERGENDALA SEBENTAR
15.1. Pengadil boleh memberhentiakan permainan jika belaku halangan, gangguan atau pemain tercedera dan memerlukan rawatan segera, tidak lebih dari 5 minit.
15.2 Pemain yang tercedera dibenarkan time-out cedera sehingga 5 minit. Jika selepas 5 minit, pemain tersebut tidak berupaya meneruskan permainan, gantikan mestilah dibuat. Jika pasukan pemain yang tercedera telah membuat gantian, pasukan lawan akan dikira sebagai permenang.
15.3 Semasa tempoh pemberhentian permainan ini, semua pemain tidak dibenar meninggalkan gelanggang untuk minum atau mendapatkan tunjuk ajar.
16. TATATERTIB
16-1. Setiap pemain mesti mematuhi undang-undang permainan.
16.2. Hanya Ketua Regu dibenarkan menghampiri Pengadil sepanjang permianan.
17. HUKUMAN
Perkara-perkara berikut perlu dihukum: 17.1. Menunjukkan bantahan dengan tutur kata atau kelakuan terhadap mana-mana Pegawai, mengenai sebarang keputusan dan kepada lain-lain Pemain atau penonton.17.2. Memaki atau menuturkan kata-kata kesat kepada Pegawai, Pemain atau Penonton.17.3. Melakuan perbuatan atau tindakan yang tidak sopan dengan maksud mempengaruhi sesuatu yang dinuat oleh pegawai.17.4. Meningalkan Gelanggang tanpa kebenaran Pengadil.17.5. Memberi bola kepada Pasukan Lawan dengan kaki.17.6. Melakuan tingkah laku tidak sopan.17.7. Melanggar Perintah dan Undang-undang permainan.Pemain yang melanggar undang-undang (17) akan dihukum oleh pengadil. Pengadil boleh menggunakan kad-kad berikut:a. Kad Kuning - Amaranb. Kad Merah - Perintah Keluar Gelanggang.Kad Merah boleh dikeluarkan kerana kesalahan-kesalahan yang DISENGAJAKAN seperti:i) Masih bergedil dan berkelakuan buruk selepas diberi Amaran. ii) Berkelakuan ganas (seperti menyerang, menendang, meludah dan sebagainya)iii) Mamaki, mencarut atau mengeluarkan kata-kata kesat.Nota: Mana-mana Pemain yang diberi kad Merah hendaklah diarah Keluar Gelanggang dan tindakan tatatertib perlu diambil terhadapnya. Pemain berkaitan tidak boleh dibenarkan bermain dalam sebarang permainan sehingga dibenarkan oleh Lembaga tatatertib.

PSM tetap anggap berbahaya — Isu bola takraw Marathon New Generation



Utusan Malaysia, 20/12/2007

– Bola sepak takraw, Marathon New Generation yang mendorong penarikan diri Malaysia daripada Sukan SEA Korat, baru-baru ini didakwa tetap membahayakan biarpun tidak ada kecederaan dilaporkan sepanjang aksi temasya dwitahunan ke-24 itu berlangsung.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mendakwa, pemain tidak akan tercedera dengan bola itu dalam sebarang perlawanan kerana kekerapan mereka terkena dan risiko ditimpa kecederaan jauh lebih rendah dengan jumlah yang diterima dan ancaman dalam sesi latihan.
Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, dalam perlawanan, seseorang pemain tidak akan menerima bola yang mengandungi kepadatan getah tinggi itu sehingga 100 biji sehari dengan menggunakan kepala seperti sesi latihan malah tidak semua pergerakannya akan ditahan secara menanduk.
‘‘Dalam sesuatu perlawanan, hanya 67 mata yang tertinggi boleh dikutip dan bukannya semua bola yang datang itu akan ditahan dengan kepala. Bola terkena pemain dalam perlawanan tidak boleh disamakan dengan kaedah latihan yang diterapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Boonchai Lorhpipat kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Menurut Boonchai: ‘‘Tiada satu pasukan pun yang mengadu menghadapi masalah dengan bola itu atau pemainnya tercedera. Ramai pemain lebih terhibur untuk beraksi dengannya manakala pasukan bertahan pula mampu menyambut bola.’’
Jika kenyataan Boonchai mungkin dianggap berat sebelah, bagaimana pula dengan Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI), Dr. Asmizar Adam dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Amatur Filipina (PASTA), Manuel G. Eslao yang mengakui, bola itu mengurangkan kesan dan risiko kecederaan serta lebih lembut apabila terkena badan pemain.
Namun, menurut PSM, kecederaan pemain telah terbukti apabila seorang pelibas Malaysia, Arif Busu mengadu sakit kepala sehingga terpaksa menerima rawatan doktor dan direhatkan setelah menjalani latih tubi menanduk bola laju itu.
Tegas Tengku Adnan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM: ‘‘Bola ini tetap berbahaya dan mampu mengakibatkan kecederaan walaupun dalam sesi latihan. Bayangkan jika seseorang pemain terpaksa menahan bola tersebut dengan kepala sebanyak 100 biji semasa latih tubi.’’
PSM mengesahkan penarikan diri daripada Sukan SEA pada 29 November lalu, kurang seminggu dari tarikh pertandingan sepak takraw yang bermula dengan acara gelung sekali gus mencatat sejarah hitam sepak takraw memandangkan Malaysia yang memperkenalkannya dalam temasya ini di Kuala Lumpur tanggal 1965.
Bagaimanapun ramai pemain skuad negara sekarang merupakan muka baru dan masih boleh dipertaruhkan ke Sukan SEA Laos 2009 kecuali beberapa tonggak senior yang berpengalaman dalam temasya Vietnam 2003 dan Filipina 2005 serta Sukan Asia Doha 2006 seperti Azlan Mubin, Zulhafizazudin Rosslan dan Sulaiman Salleh.