Isnin, 20 Julai 2009

Usah terlalu hormati Thailand




PERTEMBUNGAN antara Malaysia dan Thailand sentiasa menjanjikan saingan sengit.



MUNGKIN ramai yang masih ingat libasan maut Adnan Saidin pada era 1980-an.
Libasan anak Melayu inilah yang sering menghadirkan resah kepada musuh tradisi, Thailand khususnya pemain unggul mereka ketika itu, Veeras Na Nongkhai.
Begitu juga dengan kelibat nama-nama lain seperti Zabidi Shariff, Iskandar Arshad, Rahim Kassim, Rehan Mat Din, Sahak Yassin, Raziman Hassan dan Ku Halim Ku Musa.
Generasi ini adalah generasi emas yang telah meletakkan nama Malaysia sebagai kuasa utama sukan sepak takraw dunia.
Lebih membanggakan, kehebatan, ketangkasan dan kejituan mereka turut mendapat pengiktirafan.
Adnan misalnya pernah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Asia 1984 selain digelar Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Begitu juga dengan regu Iskandar, Ahmad Jais Baharum, Malek Samsudin dan Zabidi yang suatu ketika dahulu pernah dipilih menerima anugerah Olimpian 1994 menerusi kejayaan meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia di Hiroshima tahun tersebut.
Semuanya indah untuk diceritakan, apatah lagi sepak takraw adalah sukan yang cukup dekat dengan masyarakat Malaysia dan sukan tradisi bagi orang Melayu.
Hari ini, sejarah itu hanya tinggal kenangan.


HARAPAN NEGARA... Barisan pemain muda memerlukan masa bagi mengembalikan semula maruah sukan sepak takraw negara.



Tiada lagi libasan maut ala Adnan Saidin dapat disaksikan. Tiada juga sorakan gemuruh penyokong tempatan ketika menyaksikan anak Malaysia beraksi di gelanggang.
Semuanya macam sudah berakhir.
Sebaliknya, negara asing yang lain termasuk Korea Selatan terus maju ke hadapan, sejajar dengan hasrat Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang bersungguh-sungguh membawa sukan orang Melayu ini ke pentas Sukan Olimpik pada tahun 2020.
Malahan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob turut memberi sokongan terhadap usaha membawa sepak takraw ke Sukan Olimpik 2020.
Namun baginya, adalah menjadi satu kerugian andai usaha untuk meletakkan sepak takraw di pentas dunia tidak seiring dengan komitmen untuk mengembalikan kegemilangan pasukan negara selain usaha pembangunan di peringkat akar umbi.
Persoalan kini, apa agaknya kekurangan yang ada pada pemain negara sehingga mendapati sukar untuk menyekat penguasaan Thailand?
Adakah disebabkan tiada kejohanan berprestij setaraf Piala Khir Johari ataupun tiada gelanggang seumpama Kejohanan Sedunia MAS-Utusan-RTM yang pernah menjadi kebanggaan negara suatu ketika dahulu.





Namun, bagi Persatuan Sepak Takraw (PSM) yang merupakan badan bertanggungjawab dalam sukan ini, mereka mempunyai pandangan tersendiri.
"Kekuatan mental pemain kita kurang," kata Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya baru-baru ini.
"Inilah kelemahan pemain-pemain kita dan inilah juga penyakit yang menggagalkan usaha kita untuk menyekat penguasaan Thailand."
Dari segi kemampuan dan bakat, Arshad mengakui pemain negara mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pemain-pemain Thailand.
"Tiada kurangnya bagi pemain kita andai faktor kemahiran dan taktikal dijadikan ukuran. Pemain kita setanding dengan pemain Thailand, malahan lebih baik daripada kuasa utama lain seperti Myanmar, Vietnam, Indonesia mahupun Singapura.
"Satu-satunya permasalahan kita adalah mental," tambah Arshad.


BARISAN pemain negara mampu kembali menyekat penguasaan Thailand suatu hari nanti.






PEMAIN negara perlu ditekankan dengan aspek kekuatan mental khususnya ketika berdepan lawan sukar seperti Thailand.













Begitupun, Arshad tidak menafikan bahawa badi Thailand sentiasa menghantui pemain-pemain Malaysia ketika berada di dalam gelanggang.
"Sejak dari dahulu lagi Thailand adalah musuh No. 1 kita. Rekod perlawanan akhir dalam mana-mana kejohanan utama sering menemukan kita dengan negara itu.
"Namun, sejak kebelakangan ini, kita sering tewas kepada mereka sama ada di pentas Sukan SEA mahupun Sukan Asia. Kekalahan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada pemain generasi baru.
"Pemain-pemain kita macam terlalu menghormati Thailand sampai satu ketika kita terpaksa tunduk kepada pemain negara itu walaupun berjaya mendahului dengan selesa dalam satu-satu perlawanan. Ini realiti dan hakikat yang sebenarnya," tambahnya.
Begitupun, PSM tidak tunduk dengan kelemahan itu, sebaliknya Arshad menjelaskan bahawa pihak persatuan telah merancang beberapa strategi baru termasuk latihan yang memberi fokus kepada kekuatan mental.
"Saya yakin dengan usaha berterusan PSM selain kerjasama daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), misi kita untuk memecahkan tradisi Thailand akan berhasil tahun ini," jelas Arshad penuh yakin.
Bagi ketua jurulatih negara, Haris Abd Rahman, dia mempunyai pandangan peribadi mengenai kegagalan pemain negara memecahkan dominasi Thailand dalam sukan sepak takraw.
"Daripada apa yang saya lihat, kemerosotan pemain mula berlaku pada tahun 1999 selepas kita meraih pingat emas pada Sukan Asia 1994 di Hiroshima," jelas Harris.
Namun, Haris mengakui sepak takraw kita kembali bersinar empat tahun lalu menerusi kejayaan trio Mohd. Normanizam Ahmad, Mohd. Futra Abdul Ghani dan Mohd. Zulkarnain Arif meraih emas pada Sukan SEA 2005 di Manila. Sejak kejayaan di Manila itu, pemain kita gagal menyinar.
"Dari segi permainan, pemain kita telah menunjukkan peningkatan yang ketara daripada satu kejohanan ke kejohanan yang lain," jelas Haris merujuk kepada prestasi semasa yang dipamerkan anak didiknya pada Kejohanan Jemputan Piala Pusingan Tuanku Raja Muda Perlis di Kangar minggu lalu.
"Namun, pemain kita hanya kekurangan dari segi pengalaman dan kematangan.
"Pengalaman ini termasuklah strategi melakukan servis dan libasan. Selain itu, kita juga perlu melihat faktor-faktor lain termasuklah sistem pengadilan dan masalah peribadi pemain."
Apa yang diperlukan oleh bekas jurulatih Korea dan Singapura ini adalah masa dan sokongan daripada pelbagai pihak kepada pasukan negara.
"Beri kami masa kerana saya dapat rasakan bahawa inilah barisan terbaik yang kita ada dan mereka inilah yang mampu mengembalikan kegemilangan sepak takraw di Malaysia," tambah Harris yang menjadikan Sukan SEA di Laos hujung tahun ini sebagai penanda aras kepada kebangkitan pasukan negara.
"Saya merayu kepada pemain yang ada agar tunjukkan semangat untuk berkhidmat dengan negara dan buatlah sesuatu yang boleh dibanggakan."
Harapan yang sama disuarakan kapten pasukan negara, Mohd. Khairuddin Adenan yang mahu melihat kegemilangan terdahulu berulang pada zamannya.
"Sebagai pemain, inilah cabaran besar bagi kami dan sudah semestinya kami juga mempunyai misi untuk mengembalikan maruah sepak takraw negara," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan