Isnin, 20 Julai 2009

PSM tetap anggap berbahaya — Isu bola takraw Marathon New Generation



Utusan Malaysia, 20/12/2007

– Bola sepak takraw, Marathon New Generation yang mendorong penarikan diri Malaysia daripada Sukan SEA Korat, baru-baru ini didakwa tetap membahayakan biarpun tidak ada kecederaan dilaporkan sepanjang aksi temasya dwitahunan ke-24 itu berlangsung.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mendakwa, pemain tidak akan tercedera dengan bola itu dalam sebarang perlawanan kerana kekerapan mereka terkena dan risiko ditimpa kecederaan jauh lebih rendah dengan jumlah yang diterima dan ancaman dalam sesi latihan.
Ketua Seranta PSM, Tengku Adnan Tengku Burhanudin berkata, dalam perlawanan, seseorang pemain tidak akan menerima bola yang mengandungi kepadatan getah tinggi itu sehingga 100 biji sehari dengan menggunakan kepala seperti sesi latihan malah tidak semua pergerakannya akan ditahan secara menanduk.
‘‘Dalam sesuatu perlawanan, hanya 67 mata yang tertinggi boleh dikutip dan bukannya semua bola yang datang itu akan ditahan dengan kepala. Bola terkena pemain dalam perlawanan tidak boleh disamakan dengan kaedah latihan yang diterapkan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Boonchai Lorhpipat kepada Utusan Malaysia, kelmarin.
Menurut Boonchai: ‘‘Tiada satu pasukan pun yang mengadu menghadapi masalah dengan bola itu atau pemainnya tercedera. Ramai pemain lebih terhibur untuk beraksi dengannya manakala pasukan bertahan pula mampu menyambut bola.’’
Jika kenyataan Boonchai mungkin dianggap berat sebelah, bagaimana pula dengan Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Indonesia (PSTI), Dr. Asmizar Adam dan Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Amatur Filipina (PASTA), Manuel G. Eslao yang mengakui, bola itu mengurangkan kesan dan risiko kecederaan serta lebih lembut apabila terkena badan pemain.
Namun, menurut PSM, kecederaan pemain telah terbukti apabila seorang pelibas Malaysia, Arif Busu mengadu sakit kepala sehingga terpaksa menerima rawatan doktor dan direhatkan setelah menjalani latih tubi menanduk bola laju itu.
Tegas Tengku Adnan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan PSM: ‘‘Bola ini tetap berbahaya dan mampu mengakibatkan kecederaan walaupun dalam sesi latihan. Bayangkan jika seseorang pemain terpaksa menahan bola tersebut dengan kepala sebanyak 100 biji semasa latih tubi.’’
PSM mengesahkan penarikan diri daripada Sukan SEA pada 29 November lalu, kurang seminggu dari tarikh pertandingan sepak takraw yang bermula dengan acara gelung sekali gus mencatat sejarah hitam sepak takraw memandangkan Malaysia yang memperkenalkannya dalam temasya ini di Kuala Lumpur tanggal 1965.
Bagaimanapun ramai pemain skuad negara sekarang merupakan muka baru dan masih boleh dipertaruhkan ke Sukan SEA Laos 2009 kecuali beberapa tonggak senior yang berpengalaman dalam temasya Vietnam 2003 dan Filipina 2005 serta Sukan Asia Doha 2006 seperti Azlan Mubin, Zulhafizazudin Rosslan dan Sulaiman Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan