Isnin, 20 Julai 2009

isu sukan sepak takraw



Sepak Takraw

Isu yang dibangkitkan ini adalah bukan satu isu yang baru di kalangan masyarakat kita namun kehangatannya dirasai sehingga kini. Sukan ini adalah salah satu warisan negara kita, tetapi melalui isu ini, kita merasakan warisan ini cuba dinafikan oleh negara-negara lain yang mempunyai kepentingan komersial.
Isu bola marathon Gen-2 bukan lah satu isu yang amat diperjuangkan oleh kita. Isu yang ingin ditekankan ialah sikap para ahli kongres khususnya dari Thailand yang cuba memperalatkan kuasa mereka untuk kepentingan pasukan dan nilai komersil mereka.Selama ini, kita mengamalkan pendekatan yang lembut tapi tidak saksama dalam menangani isu-isu sebelum ini. Kita tenggelam dalam rentak yang dimainkan oleh Thailand yang sememangnya ingin mengunggulli sukan ini sejak dulu lagi.
Bermula dengan isu nama sukan ini sendiri, Thailand berkeras ingin menempatkan bahasa mereka dalam sukan ini agar mereka tidak dinafikan sebagai pelopor sukan ini. Mengikut sejarah sukan ini berasal dari Pulau Pinang dan pasukan Thailand pernah membuat latihan ataupun lebih tepat menimba ilmu di Pulau Pinang bagi memperkuatkan barisan pasukan mereka.
Setelah berjaya melekatkan nama takraw di dalam sukan ini, Thailand mengemis kembali dengan isu bola pula. Mereka menginginkan pertukaran spesifikasi bola itu dari 3 lapisan yang dibuat dari Malaysia kepada bola dengan 1 lapisan yang dikeluarkan oleh Thailand. Kita tidak membantah dengan permintaan itu atas dasar semangat setiakawan.
Selepas itu , servis kuda pula muncul akibat dari kegagalan mereka mendapatkan kilauan emas di sukan Asia. Peristiwa itu memalitkan kenangan pahit bagi mereka kerana di situlah sukan sepak takraw pertama kali dipertandingkan. Keegoan dan maruah mereka disiat oleh pasukan Malaysia. Mimpi-mimpi indah mereka disentap oleh rejaman killer kita.
Servis kuda merupakan senjata ampuh mereka untuk menguasai sukan ini. Takhta raja takraw dimiliki Thailand tidak dapat diganggugugat oleh mana- mana pasukan di dunia ini. Keegoan mereka amat terserlah dimana jua pertandingan. Mereka sering mentertawakan pasukan kita dengan hanya menyenaraikan tekong ataupun killer mereka di bangku simpanan. Sehinggalah regu kita berjaya menewaskan mereka di bumi mereka sendiri iaitu di Piala Raja Thai, barulah mereka tersentap dari mimpi indah mereka. Bagaikan tidak percaya servis keagungan mereka dapat dipatahkan dengan senyum lebar oleh regu kita. Tambah memilukan lagi kita berjaya mengalahkan mereka dengan straight set.
Apabila regu kita tidak gentar lagi dengan servis ampuh mereka, Marathon Gen-2 pula menjadi senjata terbaru mereka di Sukan Sea di bumi mereka sendiri. Mereka tidak mampu untuk menanggung malu seandainya kita memalapkan kilauan emas mereka.
Rentetan beberapa peristiwa ini, amat wajar PSM bertindak sedemikian, demi mempertahankan maruah negara kita agar tidak diperlekehkan hak kita. Kita berhak untuk bersuara dan suara kita patut didengari dengan seadilnya tanpa prejudis. Namun apa yang berlaku telah menjadi satu titik hitam dalam sejarah sukan ini ataupun ianya bakal menjadi satu impak kepada PSM dalam menjana kemajuan sukan ini. berjayakah Sieh KoK Chi merapatkan jurang kembali antara PSM dengan ISTAF ataupun ASTAF. Mampukah MSN menyelesaikannya tanpa menidakkan PSM?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan