Isnin, 20 Julai 2009

Tindakan Istaf makin keliru


Naib Presiden dakwa exco badan induk itu hanya gantung aktiviti PSM


SEMAKIN banyak kekeliruan mengenai isu sepak takraw terutama sekali membabitkan tindak tanduk badan induk dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) yang tidak jelas dan tampak dibayangi muslihat.


Isu terbaru ialah membabitkan keputusannya menggantung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan presidennya, Datuk Ahmad Ismail sebagai anggota badan induk ini, yang kemudiannya disahkan bahawa Istaf hanya menggantung semua aktiviti PSM dan bukan keahliannya.


Perkara ini disahkan Naib Presidennya, Prof Dr Chalerm Chaiwatcharapon, yang menjelaskan bahawa lembaga eksekutif (exco) badan induk itu hanya menggantung semua aktiviti PSM dan bukannya keahliannya ahli gabungannya, sekali gus berbeza dengan kenyataan Setiausaha Agung Istaf, Halim Kader.


Rabu lalu, Halim membuatkan kenyataan kepada media tempatan dengan menyatakan bahawa PSM dan Ahmad digantung sepenuhnya sebagai anggota badan induk itu berkuat-kuasa serta merta.


“Sebenarnya, Istaf tidak menggantung keanggotaan PSM sebaliknya hanya menggantung sementara semua aktiviti badan induk itu,” kata Prof Charlem kepada Harian Sukan ketika dihubungi di Bangkok, semalam.


“Selepas itu Istaf akan menghantar surat kepada PSM dan juga Ahmad untuk memaklumkan bahawa mereka akan dirujuk kepada Tribunal yang akan dibentuk Istaf secepat mungkin bagi menjalankan siasatan ke atas isu terbabit.


“Kemudian selepas mendengar penjelasan daripada PSM dan juga Ahmad dan selesai menjalankan siasatannya, barulah Tribunal ini akan membuatkan keputusan (sama ada menggantung keanggotaan PSM atau tidak).”


“Sepanjang tempoh penggantungan ini, PSM tidak boleh melaksanakan aktivitinya seperti menganjurkan kejohanan yang membabitkan negara anggota Istaf serta mengambil bahagian dalam kejohanan yang dikelolakan badan induk ini,” kata Prof Charlem.


Bagaimanapun, Prof Charlem enggan mengulas lanjut dakwaan bahawa hanya tiga anggota eksekutif Istaf iaitu Presidennya Charouck Arirachakaran, Halim dan Bendahari Boonchai Lorhpipat yang bermesyuarat di Bangkok pada Sabtu dan Ahad lalu, dan bersekongkol membuat keputusan menggantung PSM dan Ahmad.


Jika ini benar, maka ia mungkin melanggar perlembagaan Istaf (Artikel 10 Perkara 5 - Jawatankuasa Eksekutif) yang menyebut bahawa korum bagi mesyuarat lembaga eksekutif perlu mengandungi empat anggota exco dengan tiga daripadanya adalah anggota dengan kuasa mengundi.


Selain itu, Artikel 10.6 pula menyebut Presiden Istaf akan mengarahkan Setiausaha Agung untuk memberikan sekurang-kurangnya notis sebulan bagi mesyuarat biasa dan sekurang-kurangnya notis 10 hari bagi mesyuarat tergempar lembaga eksekutif kepada semua anggotanya.


Sama ada, kedua-dua prosedur ini dituruti, belum dapat dipastikan kerana Istaf sendiri tidak menjelaskan secara terperinci mengenai jumlah dan siapa ahli yang hadir pada mesyuarat exco di Bangkok, yang tampak diadakan penuh misteri.


Halim, ketika membuat pengumuman penggantungan PSM dan Ahmad Selasa lalu, dipetik sebagai berkata, seluruh anggota exco Istaf sebulat suara meluluskan usul menggantung PSM kerana didakwa ‘menderhaka’ kepada badan induk itu apabila cuba menubuhkan persatuan alternatif dunia.


Mengenai Tribunal yang bakal ditubuhkan, perlembagaan Istaf juga tidak menyatakan dengan jelas komposisinya atau anggotanya sama ada terdiri daripada badan bebas, cuma Artikel 31 (Tribunal) menyebut semua perbalahan mengenai undang-undang yang terbit dari Perlembagaan atau berkaitan sebarang peraturan lain yang dibuat Persekutuan, yang tidak boleh diselesaikan secara aman perlu diselesaikan oleh Tribunal.


Berdepan dengan kekaburan ini, Istaf perlu tampil memberi penjelasan dan mengelak daripada membuat kenyataan yang tampak penuh dengan jerat muslihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan