Isnin, 20 Julai 2009

Media Malaysia mempesona Adnan Saidin







MEDIA Malaysia (berbaju hijau berseluar hitam) diakui Ahmad Ismail (berdiri empat dari kiri), Adnan Saidin dan Artis sebagai pasukan yang memiliki bakat sepak takraw dan kehebatan tersendiri.





AMAT mengejutkan! Daripada sekadar sekumpulan wartawan dan jurugambar yang bermain sebagai hobi atau suka-suka, mereka rupa-rupanya mempunyai bakat sepak takraw luar biasa yang terserlah pada perlawanan pertunjukan sempena Kejohanan Sepak Takraw Dunia - Piala Malaysia Ketiga, baru-baru ini.
Peluang yang mungkin datang sekali seumur hidup atas pemberian Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu ternyata dimanfaatkan Media sehingga nyaris mengejutkan regu Legenda di depan lebih 2,000 penonton di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, Terengganu.
Trio Media - Mohd. Nurazhar Amdah (tekong), Maznan Muhd. Mahfud (pelibas) dan Mohd. Izzuddin Kamaruddin (pengumpan) hanya tewas tipis kepada barisan bekas jagoan negara iaitu Mohd. Noor Abdullah, Yusof Chik dan Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin 19-21.
Malah selepas perlawanan, bekas pelibas handalan negara itu yang cuma bermain selaku pengumpan kali ini, mengakui kehebatan dan bakat tersendiri regu Media yang dibarisi kakitangan stesen ntv7 dan majalah Mingguan Sukan.
Maznan umpamanya beberapa kali berjaya mengutip mata hasil tampanan terhadap libasan Yusof yang turut menjadi jurulatih skuad Terengganu pada Kejohanan Dunia Piala Malaysia itu sementara servis tekong Mohd. Noor masih mampu disambut dan dijawab Media.
Adnan cukup digeruni dengan rejaman gulung ketika bergelar juara Kejohanan MAS-Utusan Malaysia-RTM 1985 dan 1986 selain mengumpul tiga pingat emas Sukan SEA 1979, 1981 dan 1983 manakala Mohd. Noor dan Yusof berpengalaman Sukan SEA, Sukan Asia serta Piala Raja Thai pada 1990-an.
Tiga pemain simpanan pasukan Media terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik Utusan iaitu Zulkarnain Saidin, Roy Azis Abd. Aziz, Muhamad Nadzmee Naip di samping Muhammad Nur Zairi Mohd. Tazari yang pernah menjalani latihan praktikal dengan akhbar ini.
Media Malaysia menimba pengalaman tidak ternilai dengan bekas jagoan itu atas jemputan Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail ekoran kejayaan menganjurkan perlawanan persahabatan menentang Artis Malaysia di ibu kota, 17 Mei lalu.
Media ditewaskan Artis antaranya Mat Over, Din Maidin Gerak Khas, Isma Aliff dan Roy Azman 2-1 ketika itu selain kalah 4-0 kepada Pilihan PSM pada 5 April lalu. Sementara itu, Artis yang turut diundang, memenangi perlawanan pertunjukan ke atas regu Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said; Ahli Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu, Shapian Ali.
Turut menyaksikan kedua-dua perlawanan yang berlangsung sebelum perlawanan akhir berpasukan lelaki kejohanan itu ialah Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader.
Agenda Media Malaysia berikutnya ialah perlawanan persahabatan menentang Media Thailand sempena Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24 di Bangkok dari 2 hingga 7 Julai ini selain menganjurkan Kejohanan Enam Penjuru pada pertengahan Ogos.
Kepada kelab sepak takraw tempatan, sekolah menengah, jabatan kerajaan, intitusi pengajian, syarikat swasta, persatuan sukarela dan kumpulan tertentu yang berminat mengadakan persahabatan menentang media, sila hubungi pengurus pasukan Abdul Hafiz Ahmad, 019-2121778.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan