Isnin, 20 Julai 2009

Kita bukan lagi gergasi takraw


Ahmad Ismail (duduk, kanan) bercakap dengan media sambil diperhatikan Dr. Ramlan Abd Aziz pada sidang akhbar mengenai prestasi skuad sepak takraw negara di MSN Bukit Jalil, semalam.
KUALA LUMPUR - Malaysia yang merupakan pengasas sukan sepak takraw dan pernah suatu ketika bergelar juara dunia akhirnya mengakui, mereka kini bukan lagi gergasi sepak takraw dunia.
Hakikat itu diakui Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yang meletakkan pasukan negara pada kedudukan kelima dunia, di belakang musuh tradisi, Thailand serta tiga lagi negara sedang meningkat, Myanmar, Vietnam dan Indonesia.
Tanpa menjelaskan sejak bilakah Malaysia terkeluar dari kedudukan dua pasukan terbaik dunia, presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail turut mengakui, bahawa musuh Malaysia kini bukan lagi Thailand.
Malah, Malaysia sebenarnya sudah memiliki musuh baru seperti Indonesia, yang mengalahkan skuad negara pada final antara regu Piala Raja Thai, minggu lalu, selain separuh akhir Kejohanan Dunia di Terengganu, Jun lalu.
Malaysia juga sudah mampu tumpas kepada pasukan yang tidak pernah dijangkakan seperti Korea, Vietnam dan Myanmar.
"Sekarang, Malaysia bukan lagi pasukan No. 2 dunia tetapi kita sudah jadi pasukan No. 5. Kita bukan saja ada Thailand sebagai musuh tetapi kita juga sudah ada musuh-musuh baru.
"Sebagai presiden PSM, saya menerima sepenuhnya tanggungjawab kegagalan Malaysia pada dua kejohanan terakhir - Kejohanan Dunia dan Piala Raja Thai dengan rasa rendah hati tetapi saya tidak akan meletak jawatan.
"Walaupun ada pihak yang mendesak saya berbuat demikian, pada saya itu tidak akan menyelesaikan masalah. Sekarang, bukan masa untuk menuding jari kepada sesiapa tetapi kita kena bersama kerja keras untuk memperbaiki kelemahan,'' kata Ahmad pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Tegas Ahmad lagi, kemerosotan sukan sepak takraw Malaysia bukan perkara baru tetapi ia sudah berlaku sejak beliau belum lagi mengambil alih tampuk kepimpinan badan itu pada 2002.
Justeru, berjaya merangkul pingat perak (berpasukan dan antara regu) pada kejohanan Piala Raja Thai dianggap permulaan yang baik untuk memulakan kebangkitan Malaysia, terutama dengan rata-rata pemain masih terlalu mentah.
Sambil mendedahkan bahawa mentaliti adalah kelemahan terbesar Malaysia, beliau percaya, jika faktor itu mampu diatasi, selain meningkatkan skil servis, skuad negara mampu menyaingi Thailand dan pasukan lain.
Bagaimanapun apa yang diharapkan PSM daripada kerajaan dan seluruh peminat sepak takraw adalah sokongan berterusan dan beliau berjanji Malaysia akan bangkit pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
"Sasaran terdekat kita adalah mencari kedudukan kedua pada Sukan SEA (di Laos), itu paling realistik tetapi PSM meletakkan sasaran pingat emas pada Sukan Asia 2010, itu tiada kompromi!
"Saya minta pemain-pemain muda kita diberikan peluang dan masa untuk mencari pengalaman. Kalau kita gagal memenangi emas pada Sukan Asia, maka saya akan letak jawatan... saya sedia berundur,'' ujar Ahmad lagi.
Turut hadir pada sidang akhbar semalam adalah Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz, yang turut memberi jaminan akan menghulurkan sokongan maksimum bagi membantu meningkatkan sepak takraw.
"Kami akan menghulurkan semua kepakaran yang ada bagi membantu sepak takraw memperbaiki kedudukan dari No. 5 kepada No. 1. Kami akan berbincang lebih rapat dengan PSM bagaimana hendak bekerjasama.
"Saya ambil serius prestasi sepak takraw dan semua laporan akhbar kerana ia adalah sukan kita, sukan yang punya sentimen tinggi di kalangan rakyat negara ini. Pada saya sasaran kita adalah untuk merampas kedudukan No. 1. Tidak kira berapa lama masa yang kita akan ambil, kita kena kembali menjadi No. 1,'' ujar Dr. Ramlan.
Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan